suria

Polis Tumpas Sindiket 'Black Money'

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket 'Black Money' yang aktif melakukan penipuan di sekitar Cheras sejak enam bulan lalu dengan menangkap empat lelaki Nigeria di sebuah kondominium mewah di Brickfields, Isnin lepas.

Kondominium tempat tangkapan dibuat dipercayai menjadi pusat kegiatan sindiket berkenaan melakukan 10 kes penipuan di Cheras membabitkan kerugian RM500,000 ke atas mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, ACP Izany Abdul Ghany berkata, penahanan keempat-empat mereka yang berumur antara 25 hingga 37 tahun itu menerusi serbuan ke tiga unit berasingan sekitar kondominium sama pada kira-kira 12 tengah hari.

Dalam serbuan itu polis merampas beberapa peralatan elektronik seperti lima komputer riba, 14 telefon bimbit, sebuah kamera digital dan satu alat jalur lebar bersama 32 bungkusan besar berisi 'black money' menyerupai mata wang Amerika dan kertas kosong berbalut plastik, dipercayai bahan bagi menipu mangsa.

"Polis merampas dua botol cecair kimia, disyaki digunakan untuk mencuci bahan 'black money' dan 80 kotak minyak pelincir kenderaan untuk dijual," kata Izany pada sidang media yang dihadiri Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, Rabu.

Menurut Izany, modus operandi sindiket ialah dengan memperdaya mangsa menerusi laman sosial untuk menjual mata wang Amerika dalam kuantiti banyak.

"Dalam pertemuan yang dengan mangsa selepas itu, anggota sindiket akan menggunakan teknik mencuci 'black money' sebagai membuktikan kebolehan mereka menukar kertas hitam menjadi mata wang dolar Amerika," katanya.

Beliau berkata, sebelum bertemu mangsa, beberapa keping wang asli dolar akan diletakkan di atas dan bawah lapisan kertas sebelum diikat bersama puluhan keping kertas kosong.

Katanya, apabila demonstrasi dilakukan anggota sindiket itu akan mengambil wang sebenar dan mencucinya menggunakan cecair khas di hadapan mangsa dengan demikian dapat mempengaruh mangsa.

Izany berkata, mangsa kemudian akan teperdaya membeli cecair khas itu yang dijual secara berasingan berserta wang tersebut.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Mohan Singh berkata seorang lelaki tempatan dan tiga wanita, seorang daripadannya warga asing, ditahan di sebuah premis hiburan di Jalan Loke Yew malam Selasa dipercayai terlibat mengedar dadah di pusat hiburan itu.

Beliau berkata, dalam serbuan pukul 10.10 malam itu, polis merampas 500 biji pil eramin 5, satu paket plastik lutsinar berisi 13 biji pil dipercayai Ecstasy dan satu paket ketamin seberat 23.71 gram dengan nilai rampasan kira-kira RM11,000 semuanya.

Siasatan polis mendapati suspek yang berumur lingkungan 21 hingga 43 tahun itu melakukan kegiatan sejak beberapa bulan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan pula, dua lelaki juga warga tempatan berusia 23 tahun disyaki mengedar dadah ditahan di sebuah Apartmen di Bukit Jalil bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM8,000.

Mohan Singh berkata, 53 paket heroin seberat 133 gram dan 19 paket syabu seberat 20.85 gram dirampas daripada suspek dalam serbuan itu pada 6.45 petang, Isnin lepas.

Katanya, kedua-dua suspek direman bermula semalam sehingga 10 Sept untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain