suria

Polis Tahan Tiga Suspek Bantu Siasatan Insiden Ambang Merdeka

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej di Kuala Kubu Baru, Selangor merupakan antara suspek terbaru yang ditahan daripada 11 individu yang dikehendaki polis berhubung perbuatan memijak serta menunjuk punggung ke atas gambar pemimpin negara dan membawa bendera 'baharu' Malaysia.

Pemuda berusia 19 tahun yang berasal dari Melaka itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada 1 tengah hari Rabu.

Ini menjadikan tiga suspek ditahan setakat ini selepas gambar mereka disiarkan oleh media dua hari lepas berhubung insiden di Dataran Merdeka pada sambutan Ambang Merdeka, Khamis lepas.

"Lelaki itu akan dibebaskan selepas keterangannya diambil," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dalam satu kenyataan pada Rabu.

Polis hari ini turut menahan seorang model sambilan wanita berusia 19 tahun yang menyerah diri di Balai Polis Sentral, Johor Baharu manakala seorang pelajar lelaki kolej swasta ditahan di Cheras pada Selasa. Polis sebelum ini mengumumkan pembentukan tiga pasukan khas untuk menyiasat tindakan peserta perhimpunan itu yang membawa bendera 'baharu' Malaysia, memijak gambar pemimpin dan menunjuk punggung di khalayak ramai berdasarkan Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290, 504 dan 509 Kanun Keseksaan.

Sejurus selepas itu, polis mendedahkan 11 keping gambar individu yang dirakam terbabit dalam insiden berkenaan.

Ku berkata berikutan bantahan berterusan berhubung insiden itu, jumlah laporan polis yang diterima terus meningkat daripada 100 semalam kepada 172 laporan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur ACP Abdul Aziz Zakaria dalam sidang media di IPD Dang Wangi hari ini berkata lima penganjur perhimpunan iaitu Maria Chin Abdullah, Stanley Yong dan Hishamuddin Rais diminta segera tampil memberi keterangan di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Arahan itu turut meliputi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Mereka diberi tempoh sehingga Jumaat ini, dan kegagalan untuk hadir ke balai polis membolehkan mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain