suria

Polis Masih Tunggu Laporan Cap Jari Mangsa Bunuh & Bakar

NIBONG TEBAL: Polis masih menunggu laporan cap jari bagi mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemui mati dalam keadaan ngeri apabila kedua belah tangan dan kaki dikerat serta kepalanya dipenggal sebelum dibakar di ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata cap jari mangsa telah dihantar ke Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) dan unit rekod jenayah polis di Bukit Aman.

"Identiti mangsa masih belum dikenal pasti, bagaimanapun kita telah hantar laporan cap jari itu pada Jumaat lepas dan saya percaya keputusan akan diketahui dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Mayat lelaki dianggarkan berusia 30-an dan hanya berseluar dalam itu ditemui orang awam pada 9.45 pagi yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit.

Mangsa dipercayai dibunuh dengan kejam di tempat lain sebelum dibakar untuk melupuskan bukti. - BERNAMA

Artikel Lain