suria

Pendengaran Semakan Kehakiman Rampasan Buku Irshad Manji Ditangguh Ke 22 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke 22 Oktober bagi pendengaran semakan kehakiman yang dipohon Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders, dan dua yang lain untuk mencabar tindakan rampasan buku kontroversi karya Irshad Manji oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu hari ini di dalam kamar.

Pada 23 Mei, Pengurus Besar Operasi dan Perniagaan Borders, Berjaya Books, Stephen Fung Wye Keong dan Pengurus Stor kedai buku Borders di The Gardens Mall di Mid Valley City, Nik Raina Nik Abdul Aziz, memfailkan permohonan itu terhadap Jawi, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Agama Islam.

Ketiga-tiga pemohon, antara lain, memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pegawai Jawi yang menyerbu, memeriksa dan merampas buku karya Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta' dan 'Allah, Liberty and Love' pada 23 Mei di kedai buku Borders di pusat beli-belah itu.

Mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan untuk mendakwa Nik Raina di Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengedarkan buku itu.

Pada 19 Jun, Nik Raina dituduh mengedarkan dan menjual buku itu yang dikatakan bercanggah dengan undang-undang Islam di kedai buku Borders berkenaan antara 8.41 malam dan 9.45 malam, 23 Mei.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, Hakim Rohana menetapkan 4 Oktober bagi pengurusan kes semakan kehakiman yang dipohon penerbit buku terjemahan Irshad Manji terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas 180 naskhah buku itu pada Mei.

ZI Publications dan Mohd Ezra Mohd Zaid memfailkan permohonan itu pada 9 Julai.

Mereka menamakan Jais, ketua pengarahnya, ketua penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, ketua pendakwa Syarie Selangor, kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara lain, mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan tindakan pegawai Jais yang menyerbu dan merampas 180 naskhah buku itu pada 29 Mei di ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga memohon supaya dipulangkan buku setebal 388 muka surat itu. - BERNAMA

Artikel Lain