suria

Pendakwah Perlu Kuasai Kemahiran Media Sosial - Jamil Khir

SHAH ALAM: Pendakwah agama Islam di negara ini perlu menguasai kemahiran teknologi komunikasi terkini bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dengan cara itu mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi pilihan utama masyarakat, sebagai medium dakwah.

"...malah cara ini bukan sahaja menjimatkan kos, masa dan tenaga tetapi turut berkesan dan diminati khususnya oleh golongan muda," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara 2012, di sini, Khamis.

Sehubungan itu katanya, kementerian bercadang menganjurkan kursus khas kepada pendakwah di negara ini bagi memastikan mereka menguasai sepenuhnya media sosial.

Jamil Khir berkata tindakan beberapa pihak yang menggunakan media sosial sebagai medium untuk berinteraksi termasuk dalam bidang agama di negara terbukti mendapat sambutan baik masyarakat.

"Kita harap dengan kemahiran menggunakan media sosial ini, pendakwah akan dapat menerangkan isu berbangkit kepada umum dengan lebih cepat dan berkesan," katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berharap lebih banyak majlis agama Islam negeri mengambil langkah menaikkan taraf mufti sama dengan exco kerajaan negeri masing-masing seperti yang dilakukan Wilayah Persekutuan dan Perak.

Beliau berkata cadangan berkenaan telah dimaklumkan kepada semua negeri dan terpulang kepada mereka untuk melaksanakannya.

"Seperti di Wilayah Persekutuan, mufti dinaikkan ke pangkat Jusa B," katanya. Beliau berkata bagaimanapun, keperluan menjemput mufti menyertai mesyuarat exco negeri terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing.

Konvensyen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu disertai lebih 350 wakil jabatan agama setiap negeri bertujuan mengadakan perbincangan dan muzakrah serta bertukar-tukar maklumat mengenai isu dakwah di negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain