suria

Model Mohon Maaf Pijak Gambar PM

PETALING JAYA: Seorang remaja 19 tahun yang telah ditahan oleh polis kerana didakwa memijak gambar Perdana Menteri semasa perhimpunan malam Merdeka pada Khamis, membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Saya memohon maaf kerana memijak gambar Perdana Menteri di Dataran Merdeka," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP.

Bercakap melalui peguamnya Eric Tan, Ong Xin Yi, 19, menafikan bahawa dia mempunyai apa-apa niat melakukan hasutan dan hanya mengikut orang lain yang melakukan perkara yang sama.

Dilaporkan bahawa ramai peserta perhimpunan pada 30 Ogos telah ditangkap kerana memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, polis memberi tindak balas terhadap kritikan bahawa mereka bertindak keterlaluan dengan menggari gadis itu apabila dia menyerah diri di Johor Baru pada hari Rabu, dengan menyatakan mereka mengikut prosedur semata-mata.

"Apabila seseorang ditangkap, mereka digari. Ia adalah sebahagian daripada Kanun Tatacara Jenayah," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Timbalan Komisioner Datuk Mohmad Salleh pada sidang akhbar di Pasar Seni, Khamis.

Mohmad mengesahkan bahawa kes itu disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

"Undang-undang ini masih berkuat kuasa dan tidak pernah dimansuhkan jadi kita dibenarkan untuk menggunakannya," katanya ketika ditanya tentang penggunaan undang-undang yang akan digantikan dengan Akta Harmoni.

Mohmad berkata bahawa semua mereka yang ditahan berhubung kejadian itu telah dibebaskan atas jaminan Khamis sekitar pukul 2.00 pagi.

"Kami masih mencari seramai sembilan orang dan saya menasihati mereka untuk menyerah diri secepat mungkin," katanya.

Beliau menambah bahawa 238 laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Artikel Lain