suria

Mahkamah Rayuan Kekal Denda RM85,000 Terhadap Bekas Pengarah Urusan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Rabu mengekalkan keputusan Bursa Malaysia Berhad mengenakan denda ke atas bekas pengarah urusan Ho Hup Construction Company Berhad Datuk Low Tuck Choy sebanyak RM85,000 kerana kelewatan mengemukakan kenyataan kewangan syarikat itu kepada bursa itu.

Panel tiga anggota dipengerusikan Datuk Abdul Malik Ishak menolak rayuan Low supaya diketepikan denda itu, dan memerintahkan Low, 54, membayar kos perundangan RM25,000.

Panel itu turut dianggota Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali.

Pada 4 November 2008, jawatankuasa disiplin Bursa mengenakan denda RM85,000 ke atas Low selepas mendapati beliau melanggar syarat-syarat penyenaraian Bursa untuk mengemukakan akaun tahunan beraudit Ho Hup bagi 2006, laporan tahunan 2006 dan laporan suku tahun syarikat bagi 2007 kepada Bursa dalam tempoh ditetapkan.

Rayuannya kepada Jawatankuasa Rayuan Bursa ditolak.

Low kemudian memfail semakan kehakiman, memohon perintah certiorari supaya dibatalkan keputusan.

Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2010 menolak permohonan itu.

Pada 17 Julai 2007, satu notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada Low selaku pengarah urusan menghendaki Ho Hup, sebuah syarikat disenaraikan dengan Bursa Malaysia, untuk mengemukakan keterangan disokong dengan bukti dokumen tentang mengapa syarikat itu dikatakan tidak melanggar syarat-syarat penyenaraian dan dihukum.

Low didapati mengemukakan akaun tahunan beraudit pada 31 Julai, 2007 terlewat 64 hari, sementara laporan tahunan dikemukakan pada 6 September 2007, terlewat 48 hari, dan laporan suku tahun dikemukakan pada 22 Ogos 2007, terlewat 59 hari.

Peguamnya K. Sarasvathi terdahulu erhujah bahawa Bursa Malaysia gagal menilai sebab-sebab kelewatan yang di luar kawalan Low, dan menyatakan bahawa Low berpendapat beliau sepatutnya diberi amaran dan bukan dikenakan denda.

Peguam Bursa Malaysia Lim Chee Wee, yang juga Presiden Badan Peguam Malaysia, menggesa mahkamah mengekalkan keputusan mendenda Low oleh kerana beliau berkata kuasa Bursa adalah untuk melindungi kepentingan dan menjamin keyakinan awam pelabur di pasaran modal. - BERNAMA

Artikel Lain