suria

Kurikulum Subjek Sejarah Sekolah Menengah Sedang Dirangka

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menyiapkan draf kurikulum baru bagi subjek buku teks Sejarah berdasarkan cadangan yang dibuat Jawatankuasa Khas, terutamanya bagi peringkat sekolah menengah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini adalah satu tugas yang besar dan laporannya juga telah dihantar kepada saya. Kami berharap dapat melaksanakan apa yang dirancang dalam kerangka ini dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya uang juga Menteri Pelajaran dalam ucapan perasmian masyuarat agung tahunan Persatuan Sejarah Malaysia di sini, Khamis.

Difahamkan jawatankuasa khas ditubuhkan untuk meneliti kandungan kurikulum Sejarah di sekolah menengah bagi memastikan bahawa ia boleh memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan pelajar.

Penubuhannya selaras dengan dasar kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan profesionalisme guru-guru Sejarah agar mereka dapat membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual yang tinggi di kalangan pelajar untuk membolehkan mereka menghargai nilai-nilai murni yang terkandung dalam warisan sejarah negara.

"Zaman yang menganggap sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja dan menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

"Kami mahu mata pelajaran Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam tentang ilmu Sejarah," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan dasar menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM dan pengajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah mulai 2014, semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Bagi tujuan yang sama, beliau turut berharap PSM serta badan-badan bukan kerajaan berkaitan dapat terus bergerak aktif melaksanakan program-program yang memartabatkan kedudukan sejarah dan warisan bangsa.

"Saya yakin selepas 59 tahun penubuhannya, ahli PSM memiliki banyak pengalaman untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Kerjasama dan peranan pertubuhan-pertubuhan yang mendokong aspirasi negara mengenai warisan sejarah budaya adalah penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap asal-usul negara kita dan pembentukan satu identiti nasional," katanya.

Sementara itu, Omar ketika ditemui pemberita berkata Jawatankuasa Khas itu telah menyerahkan laporan perbincangan mereka kepada kementerian kira-kira dua bulan lepas, yang turut mengandungi cadangan penambahbaikan termasuk cara pengajaran dan kandungan mata pelajaran Sejarah.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Galeri Sejarah PSM, melancarkan buku-buku terbitan PSM tahun 2012 dan menyampaikan hadiah Pertandingan Mengarang Esei Sejarah Malaysia kepada pemenang.

Artikel Lain