suria

Jurufoto Kesal Gambar Dipertikai

PUTRAJAYA: Jurufoto yang mengambil gambar suasana meriah rumah terbuka Aidilfitri 2012 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri Okt lepas yang dipertikai oleh seorang senator dari parti pembangkang sebagai gambar yang diubahsuai baru-baru ini, pada Khamis menyuarakan rasa kesal dengan dakwaan itu.

"Itu (ubahsuai gambar) bukan budaya kerja saya, malah saya berani kata bukan budaya kerja mana-mana petugas Bernama. Dakwaan itu boleh dianggap sebagai satu tohmahan, satu penghinaan," kata Harry Salzman Abu Bakar, jurufoto Bernama yang dikerah bertugas pada hari berkenaan, semasa orang ramai masih berada dalam mood cuti meraikan sambutan Hari Raya.

Beliau senada dengan kenyataan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong semalam, bahawa faktor masa adalah sesuatu yang terlalu berharga bagi petugas media, dan mereka tidak ada masa untuk membuat sesuatu yang tidak rasional.

"Saya ada banyak lagi kerja lain, banyak lagi tugasan yang perlu dibereskan, banyak lagi gambar yang perlu diambil di Putrajaya. Kami profesional yang merakam apa yang tertera sahaja, untuk menyampaikan dan berkongsi kemeriahan dengan semua, bukan untuk kepentingan mana-mana individu," katanya.

Beliau mengesahkan bahawa gambar yang disiarkan akhbar itu, sememangnya dirakam beliau sendiri tanpa ditokok tambah oleh beliau atau Bernama, kerana ia adalah soal integriti dan kredibiliti yang tidak boleh dikompromi.

Awal September lepas seorang senator pembangkang mengeluarkan kenyataan mendakwa gambar yang disiarkan di beberapa akhbar itu diubahsuai oleh artis grafik amatur dan gambar-gambar rumah terbuka itu sepatutnya menunjukkan anak-anak muda, yang tua dan orang kurang upaya yang berkerusi roda.

Sementara itu, jurufoto NSTP, Ahmad Irham Mohd Noor, yang turut bertugas membuat liputan sambutan Aidilfitri itu yang mengambil gambar dari sudut yang sama turut menyuarakan rasa kesal dengan dakwaan senator itu.

Katanya ketika itu hanya beliau dan Harry Salzman mengekori Perdana Menteri yang baru tiba di majlis berkenaan, dan mereka berdua sahaja yang menempatkan diri di atas pentas bersama Najib bagi mendapatkan sudut yang terbaik.

"Sudut itu dipilih bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh di majlis itu, kerana ia (gambaran menyeluruh) hanya dapat dilakukan sekiranya ia dirakam dari tempat yang tinggi," katanya.

Beliau berkata adalah tidak wajar bagi sesiapa mempersoal integriti dan etika jurufoto kerana mereka menjalankan tugas secara jujur dan ikhlas, dengan hasrat menyampaikan apa yang sebenarnya tersurat, kerana "satu gambar sebenarnya menceritakan segalanya".

Sementara itu Pengurus Kanan Nikon Profesional Services Malaysia Mahfooz NR berkata dua jurugambar itu mengambil tindakan yang tepat apabila mengambil gambar dari sudut tinggi, bagi mendapatkan gambaran menyeluruh suasana.

"Bagi gambaran menyeluruh dalam satu suasana seperti banjir atau bencana alam, gambar yang terbaik diambil dari sudut tinggi dari subjek, seperti dari helikopter, bangunan tinggi atau pentas, untuk mendapatkan apa yang dinamakan 'bird eye view'," kata pakar fotografi itu

Beliau berkata bagi gambar-gambar yang diubahsuai pula, ia boleh dikesan dengan mudah jika dilihat kepada fail maklumat terperinci mengenai gambar berkenaan. Sementara itu, Yong berkata Bernama mempelawa sesiapa sahaja untuk tampil membuat kajian terperinci ke atas gambar itu dan akan memberikan kerjasama.

"Kami tiada ada apa yang hendak disembunyikan dalam soal gambar ini," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MIC Datuk S.K. Devamany turut menghubungi Bernama hari ini bagi mengesahkan kesahihan gambar itu, di samping menganggap dakwaan senator berkenaan sebagai sesuatu yang 'tidak betul'.

"Saya ada semasa sambutan rumah terbuka Aidilfitri pada hari itu. Walaupun dia pembangkang, jangan pergi sehingga ke tahap ini, tak elok, tak betul. Kita berhadapan dengan parti lawan, bawalah sesuatu yang membina, jangan sampai meruntuhkan," katanya.

Katanya beliau berpendapat oleh kerana pilihan raya semakin hampir, pembangkang sanggup mempolitikkan apa sahaja untuk mewujudkan satu persepsi semata-mata bagi membawa sokongan kepada mereka.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tindakan senator itu jelas kelihatan cuba memperkecil semangat patriotik orang ramai yang berhimpun beramai-ramai untuk menunjukkan sokongan pada hari berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain