suria

Jenazah Mahadzir Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada 11.30 pagi Khamis.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya yang diimamkan adik iparnya Muntaha Salleh sebelum dibawa menaiki van jenazah ke kawasan pusara bagi pengebumian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hadir pada pengebumian itu berkata Allahyarham memberi banyak sumbangan kepada negara melalui pelbagai jawatan yang dipegang sama ada dalam bidang akademik atau politik. "Allahyarham akan sentiasa dikenang dan diingati kerana jasa serta kepakaran Allahyarham sebagai tokoh yang disegani. "Saya telah lama mengenali Allahyarham sejak Allahyarham berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya, malah Allahyarham yang saya kenali tidak pernah lokek ilmu," katanya. Mahadzir, 67, meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimasukkan ke pusat itu petang Selasa akibat diserang angin ahmar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Dr Amla Mohd Salleh dan tiga anak lelaki, Muhamad Anas, 35, Mohd Syakir, 31 dan Mohamad Salleh, 27, dan seorang cucu perempuan, 8 bulan.

Dr Amla menyifatkan pemergian suaminya merupakan satu kehilangan yang besar kepada beliau serta ahli keluarga yang lain. "Sepanjang 39 tahun kami berkahwin, Allahyarham merupakan pahlawan saya yang sentiasa memberi semangat serta dorongan kepada saya untuk meneruskan karier sebagai Profesor dalam bidang kaunseling kerjaya," katanya.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Fatimah Mohd, 84, berkata Mahadzir merupakan anak yang baik serta taat kepada ibu bapa. -BERNAMA

Artikel Lain