suria

Hormati Pemimpin Lambang Masyarakat Bertamadun - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang tidak harus berkompromi dalam soal menghormati pemimpin kerana ia lambang ketamadunan sesebuah negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata setiap rakyat berhak mempunyai ideologi dan pandangan politik berbeza, namun ia bukan landasan bagi melakukan tindakan yang boleh mencalar sifat masyarakat bertamadun.

"Kita boleh berbeza pendapat dan ideologi tapi demi negara tak boleh tukar bendera atau pijak gambar pemimpin, kita harus hormat pemimpin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program minggu orientasi siswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, Khamis.

Ahmad Zahid mengulas tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang mempamerkan bendera lain bagi menggantikan Jalur Gemilang dan insiden memijak gambar pemimpin pada Himpunan Janji Demokrasi, 30 Ogos lepas.

Katanya tindakan tersebut jelas membuktikan pemimpin parti pembangkang gagal dalam mendidik pengikut mereka menghormati pemimpin.

"Sayap kepemudaan dalam parti berkenaan tidak mengajar pengikut supaya beradab dan hormat pemimpin kerana jika pemimpin atasan ajar pengikut mereka supaya beradab, maka beradablah produk yang dikeluarkan," jelas Ahmad Zahid.

Mengulas mengenai laporan akhbar bahawa bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa akan dipecat Ahad ini, Ahmad Zahid berkata jika PAS sebuah parti yang mengamalkan 'siasi Islami' atau politik Islam, maka sebarang keputusan perlu melalui perbincangan dalam mesyuarat Majlis Syura terlebih dahulu.

"Jika Nasharudin dipecat maka benarlah telahan bahawa PAS memang tidak demokratik kerana tidak boleh menerima pandangan kritikal daripada anggotanya sendiri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata mulai semester ini semua pelajar awam UPNM akan 'diwataniahkan' bagi memastikan mereka mempunyai disiplin diri yang tinggi seperti anggota tentera. "Ertinya, mereka (pelajar awam) akan turut pakai uniform tentera selain menjalani latihan seperti tentera dan tidak dibezakan antara pelajar kadet dengan pelajar awam.

Menurut Ahmad Zahid walaupun pelajar tersebut tidak terikat menyertai angkatan tentera apabila tamat pengajian kelak, namun disiplin tentera diterap dalam diri pelajar, sekali gus menjadikan mereka aset penting negara.

Bagi sesi akademik 2012/2013 kali ini, 821 pelajar terdiri daripada 473 pelajar kadet dan 348 pelajar awam terpilih mengikuti pengajian peringkat sarjana muda dalam empat pengkhususan iaitu Fakulti Pengurusan dan Pengajian Sumber Manusia, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan serta Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan. -BERNAMA

Artikel Lain