suria

CEO Syarikat Perkapalan Dakwa Jadi Mangsa Penipuan Ejen Hartanah

PETALING JAYA: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat perkapalan mendakwa bahawa beliau menjadi mangsa penipuan membabitkan pembelian sebidang tanah bernilai RM11.5 juta di Klang, Selangor.

Paul Murugesu, 55, mendakwa beliau telah menyewa hartanah berkenaan sebelum membuat perjanjian jual beli dengan pemilik tanah pada 10 Disember 2010 bagi membeli tanah itu yang mempunyai tiga gudang yang dibina di kawasan tersebut dan tiga jeti di Pelabuhan Klang.

Katanya, beliau membeli tanah berkenaan daripada syarikat perkayuan yang mengalami hutang kerana tidak mampu membayar balik pinjaman bank ke atas hartanah berkenaan. "Saya menerima surat penebusan bertarikh 5 Jan 2011 daripada bank yang menjadi bukti menunjukkan mereka (pihak bank) tahu mengenai perjanjian itu melibatkan semua pihak," katanya dalam sidang media di Subang Jaya, dekat sini, Rabu.

Bagaimanapun, Murugesu mendakwa hartanah berkenaan telah dilelong oleh bank pada 17 Julai dan 1 Ogos tahun ini.

"Saya telah meletakkan kaveat ke atas hartanah tersebut tetapi pendaftar mahkamah tidak bersetuju dengan saya dan mereka meneruskan dengan lelongan tersebut," katanya sambil menambah bahawa dia juga dihalang daripada menjadi pembida hartanah tersebut.

Murugesu mendakwa beliau kerugian RM1.15 juta untuk bayaran pendahuluan hartanah tersebut dan lebih RM2 juta yang telah dibelanjakan bagi menaik taraf kemudahan di gudang itu kerana pemilik asal tanah tersebut gagal memberinya Sijil Kelayakan Menduduki (CF) seperti yang diperlukan dalam perjanjian jual beli bagi mendapatkan CF daripada pihak berkuasa tempatan.

Murugesu telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) yang juga penasihat undang-undang, Datuk Jacob George berkata beliau akan mengemukakan satu memorandum berhubung perkara itu kepada Kementerian Kewangan, Bank Negara, Bahagian Jenayah Komersial, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pejabat Perdana Menteri, Ketua Polis Negara dan Anggota Parlimen.

Selain itu, Jacob berkata beliau akan mengadakan kempen mendapatkan tandatangan menerusi Facebook bagi mendedahkan penjenayah kejam itu dan rakan kongsi mereka yang tidak beretika dalam sektor perbankan. -BERNAMA

Artikel Lain