suria

Warga Emas Dibunuh Selepas Disamun

KOTA BAHARU: Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas lantai dalam bilik tidur rumahnya, dipercayai dibunuh, di Kampung Jebak, Jeram, Pasir Puteh pada Selasa.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mayat Wan Kalsom Wan Husin, 68, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kepala oleh cucunya Nik Muhammad Irham Razali, 13 yang diminta mencari neneknya itu oleh ibunya Raja Zailah Raja Husin, 40.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata mangsa sebelum itu berada di rumah seorang daripada enam anaknya bagi menyediakan jamuan hari raya, namun kembali ke rumahnya untuk mengambil sudip kira-kira pukul 10 pagi.

Warga emas itu gagal kembali ke rumah anaknya menyebabkan ibu Nik Muhammad Irham meminta remaja berkenaan ke rumah neneknya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

"Dia mendapati tingkap dan pintu depan rumah neneknya berkunci, namun pintu belakang dalam keadaan terbuka. Nik Muhammad Irham kemudian menuju ke bilik neneknya yang terletak di bahagian dapur tetapi mendapati ia berkunci dari luar," katanya pada sidang media, di sini.

Mazlan berkata sebaik remaja itu membuka pintu bilik tersebut, dia mendapati neneknya berada dalam keadaan terbaring di atas lantai dengan berlumuran darah di bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati, ada kesan luka sepanjang 8 sentimeter dan 3 cm lebar di belakang kepala mangsa, selain luka di pipi kiri sepanjang 2 cm panjang dan 1 cm lebar," katanya.

Mazlan berkata siasatan mendapati suspek melakukan jenayah tersebut dengan tergesa-gesa kerana tidak menggeledah rumah dan hanya mengambil seutas gelang tangan bernilai kira-kira RM4,000 manakala cincin dan subang yang dipakai mangsa ditinggalkan.

"Kami percaya suspek mengekori mangsa ketika Wan Kalsom pulang ke rumahnya. Selain itu, mangsa juga dipercayai mengenali suspek berikutan tiada kesan pergelutan dalam rumah tersebut. "Suspek juga dipercayai berasal dari kampung sama dan kami meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut kepada Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999 bagi membantu polis untuk mengesan suspek," katanya. Sementara itu, di PASIR PUTEH, Raja Zailah ketika ditemui pemberita, berkata ibunya tidak mempunyai musuh dan aktiviti seharian ialah lebih banyak membaca al-Quran.

"Saya terkilan dengan kejadian ini, sebelum itu tiada apa-apa perubahan yang berlaku," kata Raja Zailah yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Jeram. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain