suria

Malaysia, Brunei Sahkan Komitmen Koridor Ekonomi

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Brunei mengesahkan lagi komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama sedia wujud di koridor ekonomi khususnya dengan negeri-negeri Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah melahirkan rasa puas hati terhadap usaha yang sedang dijalankan bagi memupuk kerjasama lebih rapat antara Sarawak dan Brunei dalam beberapa sektor termasuk telekomunikasi, pelancongan, pembangunan hub halal dan pertanian.

Perkara ini terkandung dalam kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia selepas Perundingan Tahunan ke 16 Pemimpin-pemimpin Malaysia dan Brunei di Putrajaya.

Pemimpin-pemimpin itu juga berharap satu Memorandum Persefahaman dapat ditandatangani bagi mengadakan kesalinghubungan tenaga antara Sarawak dan Brunei selain pelaburan bersama dalam projek janakuasa untuk merealisasi Grid Tenaga Asean (APG) yang lebih luas.

APG, sebuah projek kesalinghubungan tenaga, akan membantu memperkukuh keselamatan tenaga serantau.

Mengenai Sabah, kedua-dua pemimpin juga menyatakan puas hati dengan usaha yang sedang dijalankan bagi memperkukuh kerjasama ekonomi antara Sabah dan Brunei, khususnya berhubung Pusat Ternakan Bersepadu Keningau antara Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah, dan Annam Corporation pada 16 Jun.

Mereka juga menyatakan puas hati dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung infrastruktur teknologi informasi dan komunikasi (ICT) antara Brunei dan Sabah pada 10 Julai.

Kenyataan itu menegaskan, kedua-dua pemimpin berpendapat ini akan menyumbang kepada peningkatan pelaksanaan projek wilayah kecil Kawasan Pertumbuhan Asean Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

"Pemimpin-pemimpin itu menganggap kerjasama dalam bidang ICT sebagai cara berkesan untuk memupuk kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan antara industri-industri kreatif dari Malaysia dan Brunei," tambah kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin menggesa pihak berkuasa berkenaan di kedua-dua negara untuk memeterai MoU mengenai ICT, sebelum Perundingan Tahunan Pemimpin pada 2013, di Brunei. Pemimpin itu juga menganggap penandatanganan MoU antara dua negara mengenai Kerjasama Ekonomi pada Ahad (2 Sept), sebagai alat pelindung penting bagi kolaborasi ekonomi yang komprehensif untuk mewujudkan perdagangan dan pelaburan yang lebih luas antara kedua-dua negara.

Ketika menerima baik penyertaan Brunei di koridor ekonomi Malaysia di Sabah, Sarawak, Iskandar Malaysia dan wilayah ekonomi Pantai Timur, Najib juga menyambut baik minat Brunei untuk melabur dalam inisiatif "Greater Kuala Lumpur/Klang Valley", serta inisiatif pembangunan semula Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah turut menunjukkan minat terhadap kaedah di sebalik Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia.

Semasa perundingan itu, Sultan Hassanal Bolkiah menyatakan penghargaan terhadap Najib kerana penyertaan syarikat-syarikat Malaysia dalam projek di bawah Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei dan Lembaga Pembangunan Perindustrian Brunei.

Kedua-dua pemimpin menyatakan gembira dengan kemajuan pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Pandaruan dan berharap dapat disiapkan mengikut jadual dan dirasmikan pembukaannya menjelang Perundingan Tahunan Pemimpin pada 2013. Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan upacara pertukaran dokumen berhubung Perjanjian mengenai Kerjasama Ekonomi antara Kerajaan-kerajaan Malaysia dan Brunei. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain