suria

Banjir Kilat Sebabkan Kesesakan Teruk Di Lembah Klang

PETALING JAYA: Hujan lebat yang turun lewat petang Selasa menyebabkan kejadian banjir kilat melanda sekaligus mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di beberapa jalan utama di Kuala Lumpur, Serdang, Bangi, Nilai dan Kajang.

Laluan trafik sangat perlahan dan adakalanya tidak bergerak menghala ke selatan bandar raya hingga sebelum tol Sungai Besi.

Kesesakan tersebut menjadi lebih buruk di Jalan Istana hingga ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Sungai Besi akibat banjir kilat yang berlaku.

Pada kira-kira pukul 9 malam, PLUS Expressways Bhd (PLUS) membuka laluan alternatif sebelum laluan tol bagi membolehkan pemadu membuat pusingan ‘u’ untuk kembali ke bandar raya.

Sementara itu, di Lebuh Raya Besraya, banjir kilat yang berlaku dihadapan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang menyebabkan kesesakan yang teruk sekitar, Hotel Palace of The Golden Horses, Mines dan Balakong dengan hanya satu lorong boleh digunakan.

Kesesakan turut berlaku di hadapan bangunan Minlon menghala ke stesen KTM Serdang.

Paras air naik di KM303.8 laluan Universiti Pertanian-Kajang yang memaksa laluan di kedua-dua belah jalan tersebut terpaksa ditutup.

Di Lebuh Raya SILK, banjir kilat melanda sekitar Bandar Sg Long memaksa jalan menghala ke Cheras dan Kajang terpaksa ditutup dan trafik dilencongkan ke Putrajaya.

Di Lebuh Raya KESAS pula, kesesakan bermula di Vista Komanwel menghala ke MRR2, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Sri Petaling.

Kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di Subang Jaya sekitar bulatan Persiaran Kewajipan dan kawasan Sunway, lebuh raya NPE dan SPRINT.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain