suria

Pindaan Kanun Tatacara Jenayah Untuk Percepat Perbicaraan - Rajpal Singh

PUTRAJAYA: Pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah yang berkuat kuasa pada 1 Jun tahun ini, bertujuan mempercepatkan perbicaraan kes jenayah, kata Pengerusi Bahagian Jenayah Majlis Peguam Rajpal Singh.

Beliau berkata pindaan itu termasuk prosedur praperbicaraan seperti persidangan praperbicaraan, pengurusan kes dan rundingan bagi pengakuan salah.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang berkenaan di mahkamah belum mengguna pakai sepenuhnya pindaan itu kerana perkara tersebut mengambil masa untuk dilaksanakan.

Pindaan itu memperuntukkan bahawa dalam kes jenayah, selepas seseorang itu didakwa di mahkamah, pendakwaan dan pembelaan perlu mengadakan persidangan praperbicaraan, antara lain, bagi mengenal pasti isu fakta dan perundangan, pertukaran dokumen serta isu kontroversi.

Rajpal Singh berkata kes itu hendaklah ditetapkan untuk pengurusan kes dalam tempoh 60 hari daripada tarikh tertuduh didakwa, dan Seksyen 172B mensyaratkan agar perbicaraan bermula tidak lewat daripada 90 hari selepas tarikh pendakwaan.

Beliau juga berkata sebelum Jun 2012, tidak ada prosedur tetap berhubung apa yang pendakwaan dan pembelaan perlu lakukan sebelum perbicaraan bermula.

"Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah menggariskan prosedur untuk rundingan bagi pengakuan salah, namun ia hanya terbatas kepada kes terpilih yang bukan kesalahan serius yang membawa hukuman penjara kurang 10 tahun, dan ini tidak termasuk kesalahan seksual atau apa-apa kesalahan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat, atau kesalahan yang dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, atau apa-apa kesalahan yang mana pendakwaan enggan menawarkan rundingan untuk pengakuan salah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Bagaimanapun, Rajpal Singh berkata kegagalan mengikuti jadual itu tidak akan mengakibatkan pertuduhan cacat atau tidak sah, atau boleh dijadikan alasan untuk rayuan atau semakan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain