suria

Penolong Pegawai AADK Maut Akibat Terjatuh Ketika Cuba Halang Peragut

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang cedera ketika menghalang dua peragut daripada melarikan diri dalam kejadian di pekan Bedong, dekat sini Ahad lalu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini selepas dua hari menerima rawatan di hospital itu.

Mohd Majdi Abdul Hamid, 33, yang bekerja sebagai Penolong Pegawai di Bahagian Kaunseling, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) di Karangan, Kulim meninggal dunia kira-kira 6 pagi ini selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu.

Dia dikejarkan ke HSAH selepas terjatuh sewaktu bergelut dengan seorang daripada peragut.

Mohd Majdi yang berkhidmat lebih sembilan tahun bersama AADK, meninggalkan seorang isteri, Norbaizura Rohim, 30, dan tiga anak, Mohd Atib Naufal, 6, Nur Asma Nuha, 5, serta Nahiz Nafiz, 2.

Ibu mertua mangsa, Che Amah Abdullah, 52, berkata dia dimaklumkan kejadian malang itu berlaku sewaktu Mohd Majdi sedang minum di sebuah kedai makan bersama anaknya, Nur Asma Nuha.

"Kejadian ragut itu berlaku di depan mata dia. Peragut itu melarikan beg tangan salah seorang pelanggan wanita di kedai itu, namun terpaksa berpatah balik kerana jalan ditutup untuk laluan kereta api.

"Sewaktu kedua-dua peragut itu melarikan diri, menantu mak cik cuba menangkap. Selepas dua kali mencuba, salah seorang peragut itu terjatuh daripada motosikal dan kepala anak mak cik terhantuk ketika mereka bergelut," katanya ketika ditemui di HSAH pada Selasa.

Katanya peragut yang jatuh itu berjaya ditangkap orang ramai yang ada di kawasan berhampiran manakala rakannya dapat melarikan diri.

Isterinya Norbaizura ketika ditemui berkata kejadian itu sememangnya mengejutkannya tetapi dia perlu tabah untuk membesar anak-anak yang masih kecil.

Che Amah berkata dia merasai kehilangan Mohd Majdi yang disifatkannya sebagai seorang menantu yang baik, peramah dan ringan tulang.

"Memang kehilangan arwah sangat dirasai, sebagai ibu bapa, mak cik akan turut sama membantu Norbaizura menjaga dan mendidik cucu-cucu mak cik supaya mereka tidak merasa kekurangan kasih sayang walaupun ayah mereka sudah tiada," katanya.

Jenazah Mohd Majdi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Bedong, selepas solat Asar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Ong Aik Chang ketika dihubungi Bernama berkata seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

"Kejadian samun pada Ahad lalu berlaku di kedai makan berhadapan pejabat pos pekan Bedong, manakala tempat mangsa bergelut pula tidak jauh dari situ. Mangsa yang cedera di kepala tidak sedarkan diri dan dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Beliau berkata polis amat menghargai jasa dan pengorbanan Mohd Majdi.

"Polis turut berkesempatan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa untuk membantu meringankan beban mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain