suria

Penjelasan Kepada Sultan Mengenai Jemputan Sambutan Merdeka Akan Dibuat Jika Perlu - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa berkata penjelasan kepada Sultan Selangor mengenai ketiadaan jemputan rasmi kepada baginda bagi menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 peringkat negeri, Khamis lalu, akan dibuat jika perlu.

"Kalau perlu kita beri penjelasan. Kita beri penjelasan tapi sebelum itu, kita mesti memberi peluang kepada mereka (jawatankuasa khas) yang menguruskannya memberikan pandangan mengenai perkara tersebut," katanya ketika diminta mengulas kesediaan beliau mengadap baginda untuk memberi penjelasan mengenai jemputan itu yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Jelas Abdul Khalid urusan jemputan bagi sesuatu majlis rasmi kerajaan negeri dibuat sekurang-kurangnya sebulan lebih awal daripada tarikh majlis itu.

"Jadi bukannya perkara yang dibuat secara 'ad hoc'. Ia dibuat secara teratur termasuk wakil protokol dalam pentadbiran negeri Selangor, pegawai-pegawai protokol yang mengingatkan kita bagaimana program itu mesti dilaksanakan," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis jalinan kasih Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, di sini.

Menurut beliau urusan jemputan Sultan Selangor ke acara itu adalah tanggungjawab jawatankuasa khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Muhammad Khusrin Munawi.

"Jadi esok dalam (mesyuarat) Exco kita akan bincangkan perkara tersebut dan saya percaya jawatankuasa 'task force' yang diketuai oleh SUK mempunyai jawapan dan pandangan mereka tentang perkara itu," katanya.

Ditanya sama ada beliau sedia memohon maaf kepada baginda mengenai isu jemputan itu, Abdul Khalid berkata: "Itu satu perkara yang kalau perlu kita buat, kalau tak perlu kita tak buat."

Katanya rekod jemputan ke upacara sambutan hari kemerdekaan juga akan diteliti kerana dakwa beliau setelah empat tahun kerajaan pakatan pembangkang memerintah, perkara ini dibangkitkan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain