suria

Pemuda Umno Kelantan Buat Laporan Polis Isu Pijak Gambar PM

KOTA BAHARU: Pemuda Umno Kelantan pada Isnin membuat laporan polis berhubung tindakan biadab segelintir peserta Himpunan Janji Bersih yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada malam ambang Merdeka di Kuala Lumpur, Khamis lepas.

Mereka juga membuat laporan berasingan berhubung tindakan segelintir anak muda yang menyertai himpunan itu, mengibarkan bendera baru yang dikatakan bagi menggantikan Jalur Gemilang.

Laporan itu dibuat Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian di Balai Polis Kubang Kerian di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.

Anuar berkata laporan itu dibuat selepas gesaan yang diterima daripada anggota pergerakan itu yang begitu marah dengan provokasi melampau dan sikap biadap peserta himpunan itu.

"Kita tidak mahu perkara ini berterusan dan kita memohon polis membuat siasatan di bawah Seksyen 336 iaitu menghina, menunjukkan isyarat lucah dan melakukan provokasi di khalayak ramai, selain Seksyen 14 iaitu kelakuan aib," katanya kepada pemberita di sini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain