suria

Mayat Pencari Kepah Yang Dikhuatiri Lemas Ditemui

KEPALA BATAS: Mayat seorang pekerja kilang yang dikhuatiri lemas ketika mencari kepah di pantai Kuala Muda, Isnin ditemui pagi Selasa.

Mayat Amran Mohd Yusuf, 28, dari Taman Mahsuri, Padang Serai, Kedah ditemui pada pukul 7.50 pagi, kira-kira 200 meter dari tempat dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mayat mangsa ditemui oleh sekumpulan nelayan yang terlihat sesuatu objek tersangkut di tebing pasir di situ.

Mayat yang diseliputi lumpur itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas, katanya kepada pemberita.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama kembarnya dan dua rakan mereka mencari kepah di pantai berkenaan.

Mangsa dipercayai dihanyut ombak besar.

Kembarnya beserta dua rakan mereka sempat diselamat oleh para nelayan dalam kejadian 11 pagi itu.

Bapa mangsa Mohd Yusuf Ahmad, 54, berkata walaupun sedih dengan kehilangan anak keduanya itu, beliau tetap bersyukur kerana mayat Amran berjaya ditemui. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain