suria

KPT Sasar Kemasukan Lebih Ramai Pelajar Dalam Bidang Teknikal - Saifuddin

MELAKA: Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan kemasukan lebih ramai pelajar ke empat buah universiti teknikal negara yang mencecah sehingga 8,000 pelajar pada semester 2012/2013 bermula September ini.

Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata kementerian sangat berpuas hati dengan sambutan ibu bapa dan pelajar ke universiti teknikal awam di negara ini iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

"Permohonan pelajar amat menggalakkan dan kita berharap kemasukan pelajar pada masa depan akan bertambah lagi sejajar usaha kerajaan untuk memperkasa pendidikan teknikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Haluan Siswa UTeM sesi 2012/2013 di kampus induk UTeM di Durian Tunggal, di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.

Saifuddin berkata kemasukan pelajar ke universiti teknikal sangat mustahak kerana keperluan negara di masa depan tertumpu ke arah bidang kejuruteraan dan teknologi. Beliau berkata UTeM ditubuhkan pada Disember 2000 dan sehingga kini bilangan siswazah dari universiti itu mencecah hampir 10,000 orang dan lebih membanggakan apabila kira-kira 75 peratus alumni universiti itu berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

Keseluruhannya, seramai 56,000 pelajar berjaya mendapat tempat di universiti awam di negara ini pada sesi kali ini, katanya.

Sementara itu, Ahmad Yusoff berkata 2,152 pelajar baru di UTeM yang kini mempunyai pelajar berjumlah 9,000 orang, mengikuti pengajian di lima buah fakulti kejuruteraan dan dua buah fakulti lain dalam bidang teknologi maklumat serta pengurusan teknologi.

"UTeM sebagai universiti teknikal pertama negara yang ditubuhkan telah menyediakan pelan strategik jangka panjang universiti 2012-2020 yang komprehensif, bersumberkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara sebagai panduan," katanya.

Beliau berkata menerusi pelan itu, UTeM akan terus kekal relevan selaras dengan aspirasi pendidikan negara dan keperluan industri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain