suria

Kapten Kapal, Dua Pemandu Lori Ditahan Kerana Lakukan Pemindahan Minyak

JOHOR BAHARU: Polis Marin Wilayah Dua menahan seorang kapten kapal tangki dan dua pemandu lori kerana melakukan pemindahan minyak diesel ke kapal di jeti Pelabuhan Pasir Gudang, di sini awal pagi Selasa.

Ketua Bahagian Risikan/Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Dua DSP Rosman Ismail berkata penahanan dibuat pada pukul 2 pagi oleh dua pegawai kanan dan empat anggota pasukan berkenaan dengan dibantu sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau berkata pemeriksaan pada kapal tangki KM Bunga Jasmine yang didaftar di Batam, Indonesia itu mendapati sejumlah 164,249 liter minyak diesel telah dipindah masuk ke dalam kapal dari dua buah lori itu.

"Bagaimanapun, jumlah baki minyak diesel di dalam kedua-dua lori itu tidak dapat dipastikan kerana pemindahan terbabit tidak menggunakan pam bermeter," katanya menerusi kenyataan.

Rosman berkata kapten rakyat Indonesia berumur 42 tahun dan dua pemandu lori rakyat tempatan berumur 38 dan 50 tahun itu diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain