suria

Kanak-Kanak Meninggal Akibat Kepala Tertusuk Buluh Penyidai

JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas kepalanya tertusuk buluh penyidai pakaian di Flat Sri Tanjung, Taman Kempas Permai di sini Ahad lepas.

Muhammad Alias Che Samad, 4, yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah meninggal di hospital itu pada pukul 3 petang Selasa.

Bapanya Che Samad Che Omar, 51, berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam ketika anaknya berada di tempat meletak motosikal di flat setinggi 17 tingkat itu. "Sebatang buluh sepanjang dua meter yang dipercayai terjatuh dari salah satu tingkat berkenaan menusuk sedalam dua inci di kepalanya dan menyebabkan dia terus tidak sedarkan diri," katanya di rumah mayat hospital.

Beliau berkata beliau berada kira-kira satu meter di belakang anaknya ketika kejadian dan terus membawa anaknya yang berlumuran darah dengan motosikal ke hospital. Che Samad yang menyewa di flat itu sejak enam tahun lepas telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

Anak bongsu dari empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif di sini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain