suria

'Hilang' Malam Merdeka: Selangor Dakwa Polis Tidak Profesional

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor mendakwa tindakan anggota polis 'menghilangkan diri' pada malam sambutan Hari Kemerdekaan dan menarik diri daripada menyertai perbarisan dalam sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor pada 30 dan 31 Ogos lalu sebagai tidak profesional.

Anggota Exco Dr Xavier Jayakumar berkata, tindakan tersebut, terutama ketiadaan anggota polis beruniform pada malam sambutan kemerdekaan menunjukkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya bertugas pada program keramaian melibatkan pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) sahaja.

"Kita mahu polis bertindak profesional berdasarkan slogannya Tegas, Adil dan Berhemah dan bukan hanya bertugas jika program keramaian tersebut melibatkan pemimpin Umno/BN dan program-program pemimpin pusat kerajaan Persekutuan sahaja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dekat sini, Selasa.

Dr Xavier berkata pada majlis tersebut, polis seharusnya menjalankan tugas tanpa berbelah bahagi demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan awam secara jujur dan berhemah.

Ini kerana, katanya, sambutan kemerdekaan melibatkan keselamatan orang ramai, pemimpin-pemimpin kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas ini menyifatkan tindakan polis yang tidak mengawal trafik dan majlis tersebut sebagai tidak menghormati kerajaan yang dipilih rakyat.

"Jika polis tidak berlaku adil dalam hal-hal melibatkan isu keselamatan orang ramai, ini bermakna mereka tidak menghormati prinsip kerajaan demokrasi yang dipilih rakyat.

"Bayangkan apa akan terjadi jika ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan provokasi dan membuat kacau semasa majlis tersebut," katanya.

Menurut Dr Xavier, kerajaan negeri melalui pengarah program yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi telah memaklumkan dan meminta anggota polis supaya mengawal majlis sebelum ia berlangsung.

"Amat mengejutkan pada malam sambutan tidak kelihatan kelibat seorang pun anggota polis beruniform di persekitaran Dataran Shah Alam.

"Kita terpaksa guna penguatkuasa majlis perbandaran untuk kawal orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa tindakan polis dan Angkatan tentera Malaysia (ATM) menarik diri pada saat-saat akhir daripada menyertai perbarisan kemerdekaan disebabkan menerima arahan 'tangan-tangan di atas'.

"Kami diberitahu polis dan tentera menarik diri pada hari Rabu tetapi dari awal memberitahu bahawa perbarisan disertai pimpinan PKR termasuklah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Adakah mereka menerima arahan dari tangan-tangan di atas untuk menarik diri daripada program anjuran Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata kehadiran Anwar dalam majlis tersebut bukan satu kesalahan memandangkan kedudukannya sebagai ketua pembangkang diiktiraf di Parlimen di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain