suria

Beku Rancangan Penswastaan KTMB - Rafizi

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta kerajaan membekukan semua rancangan menswastakan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) buat kali kedua selepas penswastaan kali pertama di bawah Marak Unggul Sdn Bhd gagal mencapai matlamatnya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata terdapat beberapa perkara utama yang perlu diberi pertimbangan sebelum kerajaan membuat keputusan menyerahkan KTMB kepada MMC Corporation Berhad yang pada awal tahun ini mengemukakan pelan pengambilalihan dan operasinya.

Perkara pokok tersebut termasuklah jaminan kerajaan terhadap aset KTMB selepas diambil alih, kebajikan pekerja dan jaminan bantuan kerajaan kepada syarikat yang mengambil alih KTMB tanpa menggunakan wang rakyat.

Rafizi berkata aset dan pegangan tanah KTMB kini dianggarkan berjumlah RM50 bilion.

"Apa syarat-syarat yang dikenakan kerajaan bagi memastikan ia (aset dan pegangan tanah KTMB) tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau persendirian.

"Jika mandat diberikan kepada MMC untuk mengendalikan pekerja, apa jaminan kerajaan bahawa kebajikan kakitangan KTMB dilindungi seadilnya," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dekat sini, Selasa.

Menurut Rafizi, pengurusan KTMB yang dipengerusikan Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed sering dipersalahkan kerana tidak berjaya menjalankan operasi secara efektif sekali gus menjadi alasan untuk diswastakan oleh pihak tertentu.

Dia turut mendakwa kerugian yang ditanggung KTMB juga disebabkan entiti ini sering melakukan pembaziran.

"Untuk mereka yang menggunakan alasan (KTMB) rugi saya minta jika ia diswastakan orang pertama yang patut dibuang ialah pengerusinya," kata Rafizi lagi.

Rafizi mendakwa anugerah penswastaan baru kepada MMC Corp untuk mengambil alih operasi KTMB adalah cubaan mewujudkan monopoli pengangkutan kereta api di negara ini.

MMC Corp dimiliki Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang telah menguasai operasi dan aset-aset pelabuhan di Malaysia serta dianugerahkan tender pembinaan MRT.

"Dengan anugerah ini bermakna sebarang usaha untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli yang dipegangnya.

"Berdasarkan projek-projek penswastaan dan kerjasama swasta yang gagal sebelum ini, kita yakin penswastaan KTMB juga bermotifkan keuntungan yang membelakangkan kepentingan nasional," ujarnya.

Dalam pada itu Rafizi turut mempersoalkan tindakan MMC Corp Berhad yang mengemukakan kertas cadangan penswastaan KTMB kepada kerajaan tanpa sebarang tender terbuka.

Sekitar tahun 1997 hingga 2002 Konsortium Marak Unggul Sdn Bhd dilantik mengambil alih pengurusan KTMB untuk memulihkan KTMB serta memberi tambahan pendapatan sehingga memberi keuntungan.

Sebaliknya timbul porak poranda dalam pengurusan malah ramai pekerja KTMB bukan eksekutif diletakkan sebagai "surplus" (berlebihan) sehingga kontrak syarikat itu akhirnya ditamatkan," ujarnya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain