suria

Bekas CEO Kuala Dimensi Enggan Persetujui Prasyarat Selesaikan Pertikaian

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing enggan menyetujui prasyarat yang ditetapkan oleh bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat untuk menyelesaikan pertikaian dalam saman yang mereka failkan.

Berikutan perkembangan itu, kedua-dua saman itu akan didengar dalam perbicaraan penuh yang ditetapkan selama lima hari mulai 8 Julai, 2013.

Dalam prosiding hari ini, kedua-dua pihak bertemu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng di dalam kamar apabila kes itu disebut untuk pengurusan kes bagi mereka memaklumkan kepada hakim sama ada terdapat kemungkinan mengadakan pengantaraan untuk menyelesaikan saman itu.

Hakim Hue sebelum ini mencadangkan kedua-dua pihak supaya menimbang kemungkinan mengadakan pengantaraan untuk menyelesaikan pertikaian itu.

Susulan itu pada 3 Julai, peguam Ong menghantar surat kepada peguam Tiong dan menetapkan dua prasyarat bagi pengantaraan itu.

Peguam Chan Tse Yuen, yang mewakili Ong, memberitahu pemberita bahawa pada 30 Ogos, peguam Tiong telahpun membalas surat Ong dan enggan menyetujui prasyarat yang ditetapkan Ong.

Dua prasyarat itu adalah Tiong akan serta-merta membuat pengisytiharan terbuka secara berterus-terang dan tidak terbatas dengan menarik balik kesemua dakwaan terhadap Ong dan Tiong selanjutnya akan menyiarkan permohonan maaf secara berterus terang dan tidak terbatas kepada Ong dalam ruang yang secukupnya di halaman paling menonjol akhbar utama.

Pada Ogos 2009, Ong yang merupakan presiden MCA ketika itu, memfailkan saman fitnah RM500 juta terhadap Tiong dengan mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang disiarkan dalam laman web Malaysiakini pada 12 Ogos, 2009.

Beliau mendakwa kenyataan itu berniat jahat untuk menghalang penyiasatan yang adil dan tepat terhadap penyalahgunaan dana projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan peranan Kuala Dimensi dalam urusan itu.

Kuala Dimensi adalah kontraktor siap guna bagi projek PKFZ.

Tiong, yang juga Anggota Parlimen Bintulu, turut memfailkan saman terhadap Ong bagi mendapatkan kembali RM10 juta yang didakwa untuk diserahkan oleh beliau kepada Ong sebagai derma kepada MCA. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain