suria

Warga Johor Bharu Sambut Baik Keputusan Kerajaan Ambil Alih EDL

JOHOR BAHARU: Keputusan mengambil alih Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) merupakan bukti keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup pengguna jalan raya di Johor Baharu, menurut warga bandar raya itu.

Seorang penjawat awam Sri Sulastri Jaafar, 45, berkata beliau lega kerana pengambilalihan kerajaan terhadap EDL itu bermakna tiada bayaran tol dikenakan terhadap pengguna lebuh raya berkenaan pada masa ini.

"Sebelum ini, saya bimbang kerana terdapat berita menyatakan tol untuk pengguna EDL boleh menjangkau antara RM10 dan RM15, jumlah yang tinggi kepada pengguna setiap hari seperti saya," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Ibu kepada tiga anak yang tinggal di Taman Mount Austin itu, berkata menggunakan EDL untuk ke pejabat yang terletak di pusat bandar raya, memendekkan tempoh perjalanannya kepada separuh berbanding 30 minit sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 31 Ogos lepas, mengumumkan keputusan kerajaan membeli EDL yang dibina oleh syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Menurutnya kos dan terma pembelian lebuh raya yang mula dibina pada 2007 dan siap sepenuhnya tahun ini, akan hanya diketahui pada akhir tahun ini.

Pekerja syarikat swasta Faiz Sulaiman, 35, yang tinggal di Taman Daya pula menggunakan EDL untuk ke pejabatnya yang terletak di Taman Pelangi dan berterima kasih terhadap keputusan kerajaan itu.

"Selain memendekkan tempoh perjalanan saya ke pejabat, ia (keputusan kerajaan membeli EDL) juga bermakna tanpa bayaran tol, saya kini boleh berbelanja lebih untuk persekolahan anak-anak," katanya.

Beliau berkata EDL sepanjang 8km itu berjaya mengurangkan banyak kesesakan jalan raya di sini, dengan kebanyakan pengguna lebih berminat menggunakan lebuh raya itu berbanding jalan lama.

Peniaga Mohd Fuad Mansor, 50, yang mempunyai sebuah restoran di Permas Jaya berkata bagi warga Johor Baharu yang berhadapan dengan persoalan kos sara hidup tinggi, keputusan kerajaan itu amat membantu.

Sejak EDL dibuka kepada pengguna April lepas, beliau berharap pertambahan pelanggan ke restorannya, bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan malah dari negara jiran Singapura. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain