suria

Tiga Pekerja Kilang Diarah Bela Diri Kes Rompak Besi Keluli

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen pada Isnin memerintahkan tiga pekerja membela diri atas pertuduhan merompak besi keluli bernilai RM100,000 di kilang tempat mereka bekerja dua tahun lalu.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap G.Senganie, A.Thurairaj dan Erwan Monong di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tiga hari mulai 1 Oktober untuk mereka membela diri.

Senganie, 30, Thurairaj, 23, dan Erwan, 36, didakwa bersama-sama merompak 50 tan gegelung besi keluli di kilang Rondo Metal Products Sdn Bhd, Jalan SS 13/1K, Subang Jaya, antara 8 malam dan 10 malam pada 29 Mei 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Dua belas saksi pendakwaan dipangggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Bagaimanapun, seorang lagi rakan sekerja mereka, G.Kalithasan, dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan sama tanpa dipanggil membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir manakala peguam V.Ravi mewakili kesemua tertuduh. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain