suria

Tiada Keperluan Untuk Saya Letak Jawatan - CEO SSM

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Naim Daruwish pada Isnin menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk kepada desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukannya meletakkan jawatan kerana didakwa gagal membuat siasatan terhadap pendedahan aktiviti Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mohd Naim menegaskan bahawa tiada sebab bagi beliau untuk meletakkan jawatan kerana telah melaksanakan tugas-tugas seperti yang dikehendaki.

“Saya sudah pun memulakan siasatan mengenai isu berkenaan dan melakukannya mengikut landasan undang-undang dan peraturan, bebas dan tidak di bawah atas gesaan mana-mana pihak serta tidak terburu-buru.

“Saya anggap gesaan supaya saya meletakkan jawatan adalah amat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada para pemberita di Ibu Pejabat SSM di sini, Isnin.

Mohd Naim mengulas mengenai beberapa laporan berhubung kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim dan bekas Pengerusi Keadilan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim, yang sebelum ini mendesak beliau supaya meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif SSM kerana gagal membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap Suaram.

Beliau berkata, Suaram tidak didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 atau Akta Perniagaan 1956 tetapi sebaliknya adalah sebuah NGO maka SSM tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat aktiviti atau punca kewangan badan itu.

“Bagaimanapun, pihak SSM kini sedang menyiasat Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suara Inisiatif) yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat dan didapati mempunyai kaitan dengan Suaram berdasarkan penemuan awal.

“Ia masih dalam siasatan dan akan diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan bergantung pada kerumitan kes tersebut. Ia bergantung pada adanya keterangan dan bukti yang kukuh,” katanya.

Isu Suaram pertama kali dilaporkan pada 2 Julai lalu apabila JMM mendakwa Suaram bukan NGO tetapi sebaliknya adalah sebuah syarikat, didaftarkan atas nama Suara Inisiatif, berdasarkan semakan di SSM.

Bagaimanapun, sehari selepas itu pada 3 Julai, SSM memulakan siasatan terhadap premis operasi Suara Inisiatif dan pada 4 Julai, SSM mengeluarkan notis pemeriksaan serta notis kepada pengarah-pengarah Suara Inisiatif pada 5 Julai.

Pada 13 Julai, pengarah-pengarah Suara Inisiatif hadir ke SSM dan pada 20 Julai, sebahagian daripada dokumen kewangan telah diserahkan kepada SSM.

Mohd Naim berpendapat bahawa kemungkinan gesaan beliau meletakkan jawatan adalah disebabkan oleh kesemua mereka kurang membuat kajian dan kurang pengetahuan mengenai isu tersebut secara keseluruhan.

“Terutamanya tentang perbezaan entiti antara Suaram yang disifatkan sebagai NGO dan Suara Inisiatif sebagai sebuah syarikat. Isu bidang kuasa juga amat penting, kita ada banyak undang-undang dan banyak agensi serta jabatan yang ditubuhkan untuk mentadbir undang-undang tersebut,” katanya.

Ketika ditanya adakah desakan tersebut menganggu pihak beliau untuk menjalankan siasatan, Mohd Naim berkata: “Setakat ini, kita anggap desakan tersebut sebagai penyuntik semangat untuk kita meneruskan siasatan.”

Isu penyelewengan Suaram semakin diperkatakan apabila pengarahnya, Kua Kia Soong pada Selasa minggu lalu mendedahkan bahawa NGO itu menerima dana dari negara asing dan individu di seluruh negara tetapi merahsiakan jumlah yang diterima serta penyumbang dana dan penaja utama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain