suria

PTPTN Digalak Kerjasama Dengan IPTS, Syarikat Besar Biaya Perbelanjaan Pelajar

PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digalak agar bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan syarikat-syarikat besar untuk mencari pendekatan kreatif bagi membiayai kos perbelanjaan pelajar di institusi pengajian tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai contoh, PTPTN dan IPTS boleh mengadakan kerjasama melalui pembahagian kos, di mana PTPTN boleh memberi pinjaman untuk kos sara hidup pelajar manakala IPTS pula boleh menyediakan biasiswa bagi menampung perbelanjaan yuran pelajar.

"IPTS ada peruntukan sekian banyak (untuk biasiswa) dan jika mereka hanya memberi biasiswa penuh mungkin dia boleh tampung jumlah pelajar yang sedikit.

"Kita tahu yuran IPTS adalah tinggi. Kalau dia (IPTS) boleh tumpu kepada soal itu (yuran) sahaja dan kos sara hidup ditampung oleh PTPTN maka lebih ramai yang boleh dapat biasiswa itu," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kenaikan taraf Kolej Universiti SEGi kepada Universiti SEGi di sini Isnin.

Mohamed Khaled berkata kerjasama tersebut juga boleh dilakukan dengan syarikat-syarikat besar, termasuk Felda, yang mungkin dapat menampung sedikit perbelanjaan anak-anak pekerja mereka untuk meneruskan pelajaran di peringkat tinggi, manakala bakinya boleh dipinjam melalui PTPTN.

Ia bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah yang perlu dipinjamkan oleh PTPTN, tetapi juga dapat mengurangkan beban pelajar terutama dalam soal pembayaran balik pinjaman tersebut, katanya.

Sementara itu ditanya mengenai penglibatan pelajar IPT dalam kes memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur Khamis lepas, Mohamed Khaled berkata pihaknya masih menunggu siasatan polis.

"Sesiapa sahaja yang terlibat akan disiasat dan diambil tindakan. Semua tidak terkecuali sama ada dia pelajar atau bukan pelajar. Dalam soal ini memijak bendera dan sebagainya adalah satu perkara yang menghina dan tidak wajar dilakukan dan kita harap pihak polis akan menyiasat dan kenakan tindakan yang sesuai dan tidak ada sesiapapun patut dikecualikan," katanya.

Terdahulu Mohamed Khaled berkata dengan kenaikan taraf Universiti SEGi itu, kini terdapat 34 universiti swasta, 21 kolej universiti, dan enam kampus luar negara, menjadikan sejumlah 61 IPTS dalam negara.

Beliau berkata kenaikan taraf itu diberikan setelah ia memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti pengalaman dalam mengendalikan IPT, kewangan syarikat yang kukuh, kakitangan akademik yang berkualiti, kursus pengajian yang berkualiti, governan, pengantarabangsaan, premis/kampus yang kondusif dan penglibatan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dana RM5 juta untuk Tabung Biasiswa Universiti SEGi bagi pelajar terbaik atau mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang dan mereka yang kurang berkemampuan turut disediakan bersempena dengan kenaikan taraf itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain