suria

Polis Berkas Lelaki Disyaki Peragut

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes ragut di Jalan Perak, Jelutong pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata polis melancarkan operasi khas bagi memberkas penjenayah terbabit selepas menerima laporan seorang wanita yang mengadu beg tangannya diragut ketika hendak ke tempat kerja pada 7.30 pagi.

"Lelaki terbabit bertindak berseorangan dan menunggang motosikal. Dengan bantuan Unit Peronda Polis Elit Evolution X (MPV-Evo), polis berjaya mengesan suspek dan memberkasnya di Lorong Tenggiri, Seberang Jaya beberapa jam selepas kejadian," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah bagi kesalahan mencuri motosikal dan dadah.

Gan berkata lelaki itu ditahan reman mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain