suria

Kelab Wartawan Muda Kutuk Kebiadaban Peserta Janji Bersih

KUALA LUMPUR: Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) pada Isnin mengutuk perbuatan sekumpulan peserta perhimpunan Janji Bersih yang menghina pemimpin negara dan Jalur Gemilang baru-baru ini.

Presiden kelab Dzulkarnain Taib berkata pihak berwajib mesti mengambil serius perbuatan itu yang merupakan bibit perkembangan tidak sihat dan akan memburuk jika dibiar berleluasa.

KWMM juga berharap polis menyegerakan siasatan supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pelaku, katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau mengulas perbuatan biadab peserta perhimpunan itu yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengibar bendera lain yang dikatakan pengganti Jalur Gemilang semasa ambang sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka malam Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Dzulkarnain berkata perbuatan biadab segelintir anak muda itu akibat terpengaruh dakyah pembangkang, tidak mewakili suara majoriti rakyat yang patuh dan hormat undang-undang.

"Apa yang dilihat semasa itu hanyalah boneka yang dieksploitasi olh pihak pembangkang.

"Apa yang perlu dilakukan ialah mendedahkan tok dalang yang bermain tarik tali di belakang tabir yang sebenarnya berperanan mengarah dan menyusun strategi himpunan tersebut," katanya.

Mengenai tindakan kerajaan Selangor membelakangkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa sambutan kemerdekaan peringkat negeri di Shah Alam, dan menjadikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu khas, Dzulkarnain berkata tindakan itu satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan.

"Jika berbeza ideologi politik sekali pun, sebagai rakyat Malaysia kita tidak boleh sesekali menghina kedaulatan raja-raja Melayu. Jika ini berlaku ia akan dianggap sebagai satu penderhakaan dan menderhaka kepada raja adalah satu kesalahan yang besar," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain