suria

Idris Angkat Sumpah Senator Untuk Penggal Kedua

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Idris Jala pada Isnin mengangkat sumpah sebagai Senator untuk penggal kedua pada satu majlis di Dewan Negara di sini.

Upacara berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan disaksikan anggota dewan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi membuktikan keberkesanan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Kejayaan GTP juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang bagus di mana pelaburan negara pada tahun lepas telah meningkat, pelaburan langsung asing (FDI) negara juga meningkat dengan kukuh dalam masa 10 tahun malah pendapatan negara turut meningkat kepada RM185 bilion," katanya.

Idris ,54, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) iaitu organisasi yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan GTP.

Anak kelahiran Sarawak itu yang berkelulusan Sarjana Perhubungan Perindustrian dari Warwick University, United Kingdom, dilantik sebagai senator buat pertama kali pada 2009.

Sebelum dilantik ke dalam kerajaan, Idris merupakan tokoh korporat termasuk meneraju Malaysia Airlines selama empat tahun dan pernah dipilih sebagai Tokoh Orient Aviation 2008 menerusi peranannya dalam syarikat penerbangan nasional itu.

Beliau juga pernah dianugerah 'Order Of The Star of The Italian Solidarity' dari kerajaan Itali pada 2009 atas sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Itali.

Sementara itu, Abu Zahar berkata pelantikan semula Idris sebagai Senator membuktikan bahawa kerajaan peka serta prihatin akan kewibawaan seseorang pemimpin yang dilihat mampu memimpin negara dengan baik.

Katanya kebolehan itu dapat membantu rakyat dan negara tanpa mengira agama, kaum serta keturunan.

Pada masa yang sama Abu Zahar berharap Idris terus menjadi pemimpin yang mampu menjadi ikutan serta teladan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Apabila dilantik oleh Dewan maka jangan lupa taat setia kepada negara dan berpeganglah kepada pepatah 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain