suria

Dakwaan Polis Berlembut Terhadap Peserta Janji Bersih Tidak Tepat

KUALA LUMPUR: Dakwaan polis terlalu berlembut dan tidak mengambil tindakan segera terhadap penganjuran Himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka sehingga berlakunya salah laku peserta pada perhimpunan malam Khamis lepas adalah tidak tepat.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata polis sebenarnya telah mengambil tindakan pantas berhubung kejadian itu namun masyarakat tidak dimaklumkan mengenainya kerana ia dilakukan 'di belakang tabir'.

"Dakwaan lambat atau tidak bertindak segera adalah tidak tepat kerana polis sebenarnya mengambil tindakan yang cepat tetapi masyarakat tidak tahu perkara sebenar.

"Perkara berlaku di belakang tabir, seperti polis telah mengumpul pelbagai maklumat, yang ada di antaranya disebarkan melalui twitter dan Facebook, (yang) mungkin tidak semua orang tahu mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama bagi mengulas dakwaan polis lambat mengambil tindakan ke atas segelintir peserta perhimpunan itu yang bertindak mempamerkan 'bendera baharu' serta insiden memijak dan menunjukkan punggung ke atas gambar pemimpin negara.

Ramli berkata sebagai sebuah pasukan yang dipertanggungjawab menjaga keamanan negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan ke atas perkara yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

"Polis sentiasa peka dalam menjaga isu-isu yang sensitif yang menjejaskan aspek keselamatan orang awam, malah untuk perhimpunan di malam ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka itu, polis telah membuat pemantauan sejak awal lagi. "Sejak dari awal polis nasihatkan pihak penganjur agar tidak meneruskan perhimpunan, malah perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad juga gagal memperoleh notis kebenaran untuk berhimpun," katanya.

Bagaimanapun, katanya, polis tidak boleh bertindak secara serta merta berdasarkan sentimen semasa kerana setiap tindakan perlu diselaras mengikut undang-undang negara.

Menurut Ramli, tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur perhimpunan kerana peserta perhimpunan itu secara jelas membuat beberapa kesalahan yang berlawanan dengan perkara yang terkandung dalam Akta Perhimpunan Aman 2011.

PDRM semalam mengumumkan pembentukan tiga pasukan khas untuk menyiasat tindakan peserta perhimpunan itu yang membawa bendera 'baharu' Malaysia, memijak gambar pemimpin dan menunjuk punggung di khalayak ramai berdasarkan Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 290 dan 504 serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Pasukan itu juga akan menyiasat laporan serangan terhadap bas Jelajah Merdeka Rakyat PKR di Kota Bharu, Kelantan pada awal pagi Sabtu lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain