suria

BN P. Pinang Kutuk Tindakan Pijak Gambar Pemimpin & Tukar Bendera

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang pada Isnin menyifatkan tindakan segelintir pihak memijak gambar pemimpin negara selain mahu menukar Jalur Gemilang sebagai budaya liar.

Pengerusinya Teng Chang Yeow berkata perbuatan itu tidak boleh diterima, walau apa juga alasan yang diguna pihak terbabit untuk mewajarkan tindakan mereka.

Sekalipun tidak suka dengan pemimpin, mereka tidak harus melepaskan rasa tidak geram dengan menghina gambar pemimpin, manakala Jalur Gemilang pula lambang identiti setiap rakyat Malaysia, katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau mengulas tindakan peserta Himpunan Janji Bersih pada malam ambang Hari Kemerdekaan di ibu kota Khamis lepas, yang memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Segelintir peserta perhimpunan juga dilapor bangga mengibarkan bendera yang dikatakan sebagai pengganti Jalur Gemilang.

Dalam perkembangan lain, Teng berkata pihaknya menyokong cadangan Pemuda B Nnegeri untuk membeli tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini, daripada kerajaan negeri.

Katanya pembelian itu adalah sebagai tawaran balas kepada kerajaan negeri yang mahu menjual tanah tersebut kepada syarikat swasta.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini kerajaan negeri masih belum mengemukakan sebarang tawaran kepada Pemuda BN.

Sebelum ini, Pemuda BN menyatakan minat untuk membeli semula tanah berkenaan daripada kerajaan negeri bagi tujuan projek perumahan kos rendah.

Sementara itu di BUKIT MERTAJAM, Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini berhubung perkara sama. Ketuanya Shaik Hussein Mydin berkata laporan itu juga bagi menggesa polis menyiasat secara terperinci perbuatan menghina Perdana Menteri menerusi perbuatan memijak gambarnya pada perhimpunan itu. "Perbuatan mereka yang dipercayai didalangi oleh pihak tertentu itu menjejas maruah dan boleh mengganggu keamanan negara," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.

Pergerakan itu juga menyifatkan aksi sesetengah pelaku yang menunjukkan punggung di hadapan gambar Najib dan isteri sebagai jijik dan keterlaluan.

Shaik Hussein berkata pihaknya juga mengesa DAP turut membuat laporan polis bagi membuktikan parti itu tidak terlibat dengan tindakan segelintir peserta pada malam berkenaan. "Kalau mereka (DAP) tidak buat laporan polis bermaksud mereka merestui perbuatan berkenaan dan setahu saya sehingga hari ini tiada sebarang reaksi berhubung kejadian itu dari parti berkenaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain