suria

BN Dalam Proses Buat Tapisan Calon Bertanding

PUTRAJAYA: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) sedang membuat penapisan calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan bahawa semua 13 anggota dalam parti sudah menyerahkan senarai calon mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami telah mula membuat penapisan (calon). Kami juga memeriksa sama ada calon-calon itu popular di kawasannya. Kami mahu calon yang rakyat mahu, bukan parti," katanya pada Ahad.

Selain penapisan calon, Tengku Adnan berkata Najib juga akan mengadakan pertemuan dengan presiden parti-parti komponen untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai peluang mereka untuk menang dalam pilihan raya.

"Jika kita merasakan calon tidak sesuai, kita akan meminta mereka mengemukakan nama lain. Proses ini sudah bermula dan sehingga kini, kami bersedia (untuk menghadapi pilihan raya)," katanya.

Terdahulu, dilaporkan Najib hanya mengambil cuti singkat sepanjang Hari Raya bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti komponen BN untuk memuktamadkan senarai calon.

Tengku Adnan, yang juga setiausaha agung Umno, sebelum ini berkata Oktober aadalah idea yang tidak baik untuk mengadakan pilihan raya umum kerana ia permulaan musim haji.

Mana-mana tarikh pada September juga tidak mungkin, kerana Najib dijadualkan membentangkan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain