suria

Tukar Bendera: Perkasa Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pada Ahad membuat laporan polis berhubung tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mengedar risalah menukar bendera 'Jalur Gemilang' pada Perhimpunan Janji Bersih, Khamis lalu.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata penyebaran gambar itu jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan dan ia merupakan satu unsur hasutan kepada rakyat.

"Justeru, kita menggesa polis menyiasat serta mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang cuba menimbulkan provokasi untuk menggugat keselamatan negara.

"Ini juga satu hasutan kepada rakyat. Bendera ini melambangkan sesebuah negara, tetapi ianya telah 'dilacurkan' oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Perkasa memandang serius perkara ini, kita menganggap pihak tak bertanggungjawab ini tidak menghormati negara dan Raja-Raja Melayu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad.

Jelasnya, perbuatan tersebut menjejas maruah dan boleh mengganggu keamanan negara.

Perkasa membuat laporan polis pada pukul 4.30 petang.

Menurut Irwan, enam laporan polis serupa turut dibuat di enam negeri, Melaka, Johor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor oleh Ketua Wira Perkasa Negeri masing-masing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata siasatan akan dijalankan segera.

Artikel Lain