suria

Rampas Jalur Gemilang: BN P. Pinang Anggap Tindakan Tidak Patriotik

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menyifatkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai tidak patriotik kerana merampas lebih 300 Jalur Gemilang termasuk bendera BN yang dipasang di sepanjang Jalan Gotlieb sempena pelancaran program Semboyan Dibunyikan parti itu di sini, Ahad.

Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow berkata semasa pemerintahan BN di negeri ini, pihaknya tidak pernah menurunkan mana-mana kain rentang atau bendera parti lain sebagai menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara seperti termaktub dalam perlembagaan.

"Mereka turunkan bendera pada waktu malam. Jika hanya ambil bendera parti saya boleh diterima tetapi jika Jalur Gemilang pun mereka mahu ganggu memanglah satu perbuatan tidak patriotik.

"Ini bukan pertama kali perkara ini berlaku. MPPP perlu insaf dan minta maaf kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di Padang Persatuan India di Jalan Gotlieb.

Teng berkata insiden seumpama itu pertama kali berlaku pada 31 Ogos lepas dan perbuatan berkenaan telah mencemar suasana sambutan bulan kemerdekaan.

Terdahulu, seramai 500 anggota kontinjen BN dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Kebun Bunga, Air Putih, Tanjong Bungah menjayakan program Semboyan Dibunyikan itu bagi peringkat Parlimen Bukit Bendera.

Program menggunakan pendekatan "serang dan terang" itu diadakan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Teng berkata program itu dipenuhi dengan aktiviti penerangan, termasuk menerusi media konvensional dan media baharu untuk memberi pendedahan serta penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang. -BERNAMA

Artikel Lain