suria

Penguasaan Bahasa Inggeris Penting Bagi Siswazah Hadapi Cabaran Era Globalisasi - Naib Canselor UM

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata penguasaan Bahasa Inggeris penting di kalangan mahasiswa bagi menghadapi cabaran era globalisasi.

"Kurang penguasaan dalam Bahasa Inggeris boleh mengehadkan kemahiran mereka untuk berkomunikasi di luar sempadan Malaysia, dan ini mengurangkan keyakinan mereka serta mengurangkan keupayaan mereka untuk menambah nilai di tempat kerja", katanya semasa mengalu-alukan kemasukan pelajar baru UM sesi 2012/2013 di sini, Ahad.

Beliau juga berkata penguasaan Bahasa Inggeris akan membantu pelajar bertugas di kawasan yang berbeza pada masa depan. Seramai 3,335 mahasiswa baru, termasuk 97 pelajar antarabangsa dan 14 Orang Kurang Upaya (OKU), mendaftar untuk sesi 2012/2013.

Antara pelajar asing yang mendaftar ialah warga Korea, Mesir, Kanada dan Brunei Darussalam.

Sementara itu, Mohd Shahir Ramli, 22, pelajar Sarjana Muda Pengajian Melayu (Sosio-Budaya Melayu), berkata walaupun cacat penglihatan, ia tidak menghalang untuk beliau menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Mohd Shahir, yang ditemani ibu, Norhaizam Samsudin, 55, seorang penjawat awam Jabatan Pendaftaran Negara dari Rembau, Negeri Sembilan, berkata beliau begitu teruja apabila diterima masuk ke UM dalam bidang Pengajian Melayu yang amat diminatinya.

Beliau juga berazam untuk membuktikan kemampuannya bersaing dengan insan normal di kampus itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St John Kuala Lumpur itu berkata beliau tidak gusar untuk hidup berdikari di kampus.

"Kalau ada kerja yang mampu dilakukan sendiri, saya akan buat, saya akan minta bantuan jika perlu. Malahan saya sudah membiasakan diri dengan membasuh baju, mengurus diri dan membuat kerja rumah yang lain," katanya kepada Bernama semasa mendaftar di universiti itu hari ini. -BERNAMA

Artikel Lain