suria

MB Perak Kutuk Perbuatan Biadap Pijak Gambar Pemimpin

BUTTERWORTH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Ahad mengutuk perbuatan biadab dan tidak matang berpolitik oleh segelintir pihak yang bertindak memijak gambar pemimpin negara pada malam sembutan ambang merdeka di Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Beliau berkata tindakan itu merupakan amalan politik yang kotor diajarkan oleh kumpulan tertentu yang mahu mencetuskan haru-hara di negara ini.

"Perbuatan memijak gambar pemimpin dan meminta Jalur Gemilang diturunkan adalah amalan politik yang berbahaya kepada negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Batu Kawan di sini, Ahad.

Zambry yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengulas tindakan biadab sebilangan peserta Perhimpunan Janji Bersih memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin seri Rosmah Mansor pada malam sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Batu Kawan berkata, perbuatan memijak gambar pemimpin negara dan menurunkan bendera adalah budaya politik yang boleh merosakkan negara.

Katanya bendera adalah simbol kedaulatan raja-raja yang tercatat dalam perlembagaan negara tidak sewajarnya diperlakukan seperti itu.

Sementara itu di ALOR GAJAH, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan perbuatan itu dilihat sebagai cubaan parti pembangkang menghidupkan "ritual kegilaan" dalam menanam benih kebencian rakyat kepada pemimpin negara.

"Mereka sekarang ini ingin menghidupkan 'ritual kegilaan', sebenarnya ini bukan yang pertama, sebelum ini kumpulan yang membantah PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) meletak gambar Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi dengan kalungan bunga menggambarkan seolah berkabung orang mati. "Sekarang ini ditambah lagi ritual atau amalan baharu iaitu gambar dihina dengan memijak dan melondeh seluar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Alor Gajah di sini, Ahad.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata alasan penganjur yang menyatakan tindakan peserta perhimpunan terbabit bukan tanggungjawab mereka tidak boleh diterima kerana penganjur mesti bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku pada perhimpunan anjuran mereka.

Justeru, katanya rakyat perlu menolak pembangkang yang kini mempamerkan wajah sebenar mereka dalam menghidupkan budaya yang tidak boleh diterima rakyat keseluruhan.

Di KUANTAN, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan perbuatan memijak gambar pemimpin negara itu sebagai tidak berakal dan melampau.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berkata setiap rakyat di negara ini perlu memiliki rasa hormat terhadap pemimpin negara.

"Setiap perbuatan kita perlu ada batasan, perlu ada rasa hormat kepada pemimpin kita tidak kira lah mana-mana pihak pun, perbuatan memijak gambar pemimpin negara itu tidak berakal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuantan.

Menurutnya perbuatan melampau pihak yang tidak bertanggungjawab itu jelas menunjukkan bahawa terdapatnya benih-benih kebencian yang diserapkan oleh para pemimpin pembangkang terhadap ahli-ahlinya sehingga sebilangan daripada mereka berani bertindak sedemikian. "Ini benih-benih daripada semangat kebencian yang diterapkan di kalangan ahli mereka tanpa ada batasan. Kita ni walaupun tidak sukakan pemimpin mereka, tidak pernah pula sampai nak pijak gambar pemimpin mereka," kata Naib Presiden Umno itu. -BERNAMA

Artikel Lain