suria

Jemaah Haji Jangan Berdemo - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negeri Selangor yang akan mengerjakan ibadah haji dan umrah tahun ini agar tidak berdemonstrasi semasa berada di Makkah dan Madinah.

Baginda bertitah tindakan seperti itu akan menjejaskan nama baik rakyat Malaysia serta hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

"Beta tidak berkenan rakyat negeri Selangor yang pergi menunaikan haji atau umrah ke tanah suci Mekah dan Madinah mengadakan tunjuk perasaan atau demonstrasi," titah baginda pada Majlis Penyempurnaan Kursus Perdana Haji Musim Haji Tahun 1433H/2012 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sultan Sharafuddin bertitah mereka yang akan ke Makkah dan Madinah harus menumpukan niat hanya untuk beribadah dan bukan bertujuan lain.

"Beta juga ingin menasihatkan bakal haji supaya menjaga nama baik negeri Selangor dan Malaysia yang sememangnya dikenali oleh pemimpin Arab sebagai negara yang mempunyai jemaah haji yang berdisiplin dan terbaik.

"Ikutlah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi di musim haji supaya segala urusan dapat dipermudah dan berjalan lancar," titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada bakal haji yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah kerana masih ramai yang telah berdaftar tetapi belum berpeluang menunaikan haji.

Sultan Sharafuddin bertitah bakal haji juga perlu mengambil berat tentang aspek penjagaan kesihatan sepanjang berada di tanah suci.

Seramai 4,500 jemaah haji musim ini merupakan dari Selangor termasuk tiga yang dikurniakan oleh baginda iaitu Samunar Hamdan, 54, Yahya Ahmad, 67 dan Tamrin Johari, 65.

Lima orang lagi ditaja oleh Tabung Datuk Diraja dan Kerabat Diraja Selangor manakala tiga yang lain oleh Majlis Agama Islam Selangor. BERNAMA

Artikel Lain