suria

Rakyat Perlu Bersama Pertahan Kemerdekaan Negara - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia terus memperkukuh benteng perpaduan dalam mempertahan kemerdekaan negara yang dikecapi dan mahu setiap individu bersama-sama memacu negara ke arah mercu kejayaan lebih unggul.

Perdana Menteri juga menyeru rakyat untuk bersatu dan berusaha dengan kepimpinan negara bagi menjayakan agenda transformasi yang telah dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata, setelah 55 tahun merdeka, Malaysia kini boleh diangap sebagai sebuah negara yang berjaya dan semakin hari semakin kaya, makmur serta kuat.

"Beringatlah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu hanya mengetuk pintu setiap pertiwi sekali saja. Marilah berganding berjuang pertahan kemerdekaan ini dengan barisan yang rapat lagi kukuh di setiap penjuru dan setiap ketika.

"Lebih rapat lagi ketika pihak seteru dan pembangkang cuba memporak-perandakan negara kita," katanya ketika berucap di depan lebih 150,000 orang yang menghadiri Himpunan Merdeka 55: Janji Ditepati sempena Hari Kemerdekaan ke-55 negara di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam Jumaat.

Turut hadir pada perhimpunan itu isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, menteri Kabinet serta pemimpin negara.

Najib berkata, negara kini digarapi golongan ketiga yang menyaksikan pemimpin dan rakyat sama-sama berjuang untuk membawa makna kepada kemerdekaan, setelah mengambil alih daripada golongan pertama iaitu pengasas yang berjuang untuk kemerdekaan dan golongan kedua yang berjuang untuk mengisi kemerdekaan.

"Maka janganlah sesaat pun kita leka, jangan sedikit pun kita lalai. Jangan sesekali kita berpaling daripada perjuangan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia telah mencapai kejayaan membanggakan kebelakangan ini, misalnya prestasi ekonomi negara pada suku kedua tahun ini yang mencapai 5.4 peratus manakala nilai Bursa Malaysia hari ini mencecah RM1,410 bilion, dan Malaysia berjaya menjadi pusat IPO (Tawaran Awam Permulaan) ketiga terbesar dunia selepas Amerika Syarikat dan China.

Beliau berkata, fasa pertama Program Transformasi Kerajaan, yang dilaksanakan sejak 2010 untuk menaikkan taraf hidup rakyat, berakhir hujung tahun ini manakala fasa kedua akan dilancarkan awal tahun depan.

"Kita sudah boleh bersaing dengan gergasi kuasa ekonomi, kalau kita rancang dengan tepat dan laksana segala dasar dan program yang telah dirancangkan.

"Ini semua kejayaan kita. Oleh itu, kita harus tanya kepada diri kita, ke mana kita harus bawa Malaysia, sama ada nak ke gerbang puncak jaya yang lebih maju ataupun lembah yang mundur. Pilihan berada pada tangan kita sendiri," katanya.

Najib berkata, hasil kejayaan makro yang dicapai turut diagih untuk dinikmati rakyat jelata, misalnya melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), bantuan kewangan kepada pelajar dan Kedai Kain 1Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melancarkan Kedai Buku 1Malaysia tidak lama lagi bagi mengalakkan penguasaan ilmu di kalangan rakyat.

Menyentuh pemilihan tema 'Janji DiTepati', beliau berkata, ia bukan semata-mata janji yang telah ditunaikan kerajaan selama ini, tetapi juga janji rakyat yang telah bersama-sama kerajaan untuk menentukan kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Sementara itu, Perdana Menteri kelihatan terpesona dengan perhimpunan dan persembahan malam ini yang dijayakan 8,500 belia dan menyifatkannya sebagai 'sempoi dan cool' selain sangat bertenaga serta berinspirasi.

Beliau berkata, perhimpunan malam itu juga menunjukkan rakyat Malaysia boleh mengetepikan perbezaan pendapat serta kefahaman untuk bersatu dan bersama menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam menyambut Hari Kemerdekaan.

"Kalau inilah gambaran generasi X dan Y kita, maka tak salah kalau saya katakan gambaran ini dapat meyakinkan kepada kita bahawa masa depan negara kita sangat cerah dan sarat dengan kejayaan," katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Hadiah Pertandingan Rangka Kerja Abad Ke-21, Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Pencapaian Cemerlang kepada ikon generasi muda dalam beberapa bidang.

Mereka ialah pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, penyanyi Yunalis Zarai (Yuna), ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David, ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan seorang individu kurang upaya yang aktif dalam kerja sosial, Muhammad Zhariff Afandi. - BERNAMA

Artikel Lain