suria

Komponen BN Digesa Tidak Ketepi Calon Wanita

ALOR GAJAH: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggesa pemimpin parti komponen parti itu tidak mengetepikan calon wanita daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, berkata gesaan itu perlu diberi perhatian bagi memastikan BN mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang.

"Wanita memainkan peranan penting sebagai tulang belakang, bukan hanya dalam pembinaan sesebuah institusi kekeluargaan, malah dalam pembinaan sesebuah negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Alor Gajah, Sabtu.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Alor Gajah Datuk Wira Abd Ghafar Atan dan Ketua Pergerakan Wanita Umno bahagian itu, Datuk Norpipah Abdol.

Sementara itu, Shahrizat berkata pihaknya telah mengemukakan senarai nama calon wanita di Melaka yang berpotensi untuk diketengahkan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

"Calonnya adalah rahsia, tetapi kita telah serahkan senarai yang agak panjang kepada Presiden Umno supaya beliau ada pilihan," katanya.

Shahrizat juga berkata senarai itu adalah gabungan mantap muka baru dan lama yang berwibawa serta mampu membawa kemenangan di kawasan masing-masing.

Pada masa sama, katanya, jentera Wanita Umno diminta melebarkan 'sayap' merentasi kaum serta memperhebat dan mempertingkat penganjuran program khususnya untuk pembelaan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata walaupun secara tradisi jentera Wanita Umno memberi pengkhususan terhadap orang Melayu, tetapi perkhidmatan dan perjuangan pergerakan itu kini beralih kepada seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya, inisiatif itu dilakukan selaras dengan penghayatan aspirasi Perdana Menteri serta semangat 1Malaysia agar jentera Wanita Umno akan terus relevan dan disenangi rakyat. BERNAMA

Artikel Lain