suria

The Star Tambah Jumlah Pembaca

PETALING JAYA: Jumlah pembaca harian akhbar The Star berkembang sebanyak 25.6 peratus kepada 1.286 juta pada akhir Jun tahun ini berbanding 1.024 juta pembaca tahun sebelumnya, menurut kajian terbaru Indeks Media Nielsen.

Kajian tersebut adalah berdasarkan tempoh sejak Julai tahun lalu hingga Jun tahun ini berdasarkan anggaran 15.9 juta orang yang berumur 15 tahun dan ke atas di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan 'kaji selidik pembaca semalam', indeks menunjukkan bahawa The Star kekal di kedudukan teratas akhbar bahasa Inggeris dengan meningkatkan jumlah pembaca kepada 8.1 peratus berbanding 6.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Indeks juga menunjukkan bahawa berdasarkan kaji selidik pembaca 'minggu lalu', jumlah pembaca The Star meningkat sebanyak 21.4 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.839 juta orang pada akhir Jun tahun ini, berbanding dengan 1.515 juta orang tahun sebelumnya.

Selain itu kaji selidik itu menunjukkan bahawa The Star meningkat jumlah pembaca di kawasan tengah negara dengan ketara iaitu mencecah 961,000 pembaca pada akhir Jun tahun ini.

Manakala di kawasan utara dan selatan, pembaca The Star masing-masing meningkat sebanyak 19.8 peratus kepada 230,000 orang dan 32 peratus kepada 66,000 orang.

Malah kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa pembaca Sunday Star juga meningkat sebanyak 20.8 peratus kepada 1.175 juta pada akhir Jun tahun ini, berbanding 973,000 tahun sebelumnya.

Artikel Lain