suria

Pelajar Malaysia Di Britain Mungkin Diusir

PETALING JAYA: Enam pelajar Malaysia di Britain menghadapi kemungkinan diusir selepas institusi pengajian tinggi mereka dibatalkan lesen pemberian visa pelajar antarabangsa.

UK Border Agency (UKBA) pada Rabu menarik balik lesen London Metropolitan University (LMU) untuk menaja visa pelajar antarabangsa dari luar Kesatuan Eropah (EU).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu akan menjejaskan semua pelajar bukan EU yang mendaftar di universiti berkenaan.

"Pihak berkuasa di sana mendapati bahawa universiti itu menyalahgunakan kuasanya untuk merekrut pelajar antarabangsa, jadi lesennya telah ditarik balik.

"Kami telah meminta pejabat Pelajaran Malaysia di London untuk mendapatkan maklumat lanjut dari universiti itu," katanya kepada The Star.

Menerusi peraturan visa Britain, semua pelajar bukan EU di LMU mempunyai 60 hari untuk menguruskan kemasukan mereka di institusi pengajian tinggi lain atau terpaksa keluar negara dari negara itu.

Naib Canselor LMU, Prof Malcolm Gillies, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web universiti itu berkata, mereka akan bekerjasama dengan UKBA, Kesatuan Kebangsaan Pelajar dan kesatuan pelajar sendiri untuk menyelesaikan perkara itu.

"Pihak universiti telah menubuhkan sebuah pusat bantuan untuk menyokong dan menasihati pelajar," katanya.

The Sunday Times melaporkan bahawa audit oleh UKBA mendapati bahawa sesetengah pelajar yang belajar di LMU tidak mempunyai visa sah.

Audit juga mendapati bahawa universiti itu gagal melaporkan jumlah pelajar antarabangsa yang tidak hadir mendaftar serta maklumat pencapaian akademik pelajar dan penguasaan bahasa Inggeris.

Prof Gillies berkata, UKBA pada mulanya menggantung lesen visa universiti itu pada 16 Julai atas kebimbangan bahawa terdapat kumpulan minoriti pelajar luar negara yang tidak mempunyai dokumentasi imigresen yang sah.

"Bagi tempoh enam minggu lalu kita telah berhubung dengan UKBA untuk menjelaskan kebimbangan mereka, yang seolah-olah memberi tumpuan kepada proses yang berkaitan dengan pengurusan sebelumnya.

"Namun apa yang mengecewakan ialah UKBA enggan untuk berurusan dengan universiti, dakwa Prof Gillies.

Pengerusi Persatuan Pelajar Malaysia di United Kingdom, Ahamd Syawal Hafriz Abdullah berkata keputusan itu adalah tidak adil kepada pelajar antarabangsa yang telah meletakkan kepercayaan di institusi berkenaan.

"Perkara ini menimbulkan keresahan kepada pelajar antarabangsa sedia ada serta yang akan mendaftar.

"Kami berharap isu ini akan diselesaikan segera memandangkan semester baru akademik akan bermula tidak lama lagi," katanya.

Menteri Universiti Britain, David Willetts berkata satu pasukan petugas telah ditubuhkan untuk membantu pelajar sah yang terjejas oleh keputusan itu, sambil menambah bahawa ia akan memulakan kerja dengan segera.

Artikel Lain