suria

Lapan Pelajar Direman Bantu Siasatan Kes Kematian Lelaki Pecah Masuk Asrama

ALOR SETAR: Polis pada Khamis menahan reman lapan pelajar sebuah sekolah agama di sini bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang memecah masuk asrama sekolah itu, di Jalan Sultanah di sini, awal pagi Rabu.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula Khamis dikeluarkan Majistret Wan Nor Fazilah Wan Ibrahim pada 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pelajar terbabit berusia antara 19 dan 22 tahun.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa seorang penagih dadah dikatakan memecah masuk asrama itu dan mencuri telefon bimbit dan sebuah beg, tetapi disedari sekumpulan pelajar yang kemudiannya bergelut dengan lelaki itu untuk menangkapnya.

Pergelutan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk kiri dan meninggal dunia pada 2 petang ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini. - BERNAMA

Artikel Lain