suria

Hadi: DAP Tidak Berhak Desak PAS Gugur Agenda Hudud

PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mempertahankan agenda parti itu untuk melaksanakan hukum hudud yang mendapat bantahan daripada sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, DAP tidak mempunyai kuasa untuk memaksa PAS melupakan agenda hududnya.

"DAP tiada kuasa untuk menghentikan hasrat PAS daripada menyuarakan haknya sama seperti PAS tidak boleh menghentikan DAP daripada menolak pelaksanaan hudud," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hadi berkata, PAS tetap dengan prinsip perjuangannya apabila DAP menyuarakan pandangan mereka ketika dialog terbuka.

"PAS boleh bekerjasama mengenai perkara kepentingan bersama tanpa mengenakan pandangannya terhadap orang lain.

"Kita boleh memberi dan menerima mengenai sesuatu perkara tetapi tidak akan berganjak dengan agenda parti," katanya.

Beliau berkata PAS tidak akan berganjak berhubung pendirian untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Sambil menegaskan hudud tidak akan dikenakan terhadap golongan bukan Islam, Hadi berkata ia adalah isu sensasi yang dicetuskan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pemimpin baru DAP, Datuk Aspan Alias berkata, DAP tidak pernah menolak secara rasmi hukum hudud.

"DAP menghormati cita-cita PAS untuk melaksanakan hudud," katanya dalam blog beliau.

Aspan berkata, hudud tidak menjadi penghalang untuk menjalin kerjasama di kalangan pemimpin parti Pakatan Rakyat.

Katanya, Pengerusi DAP Karpal Singh boleh membantah hudud kerana beliau bukan umat Islam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA Loh Seng Kok menggesa pemimpin Pakatan Rakyat untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan keputusan mengenai hudud dan berhenti mengelirukan komuniti Cina.

Loh berkata pemimpin DAP perlu berhenti menipu diri sendiri dan bersembunyi di sebalik rangka kerja polisi umum Buku Jingga Pakatan Rakyat mengenai isu hudud.

Artikel Lain