suria

Sri Wani Berjaya Ketepikan Empat Permohonan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah di sini mengetepikan empat permohonan yang difailkan bekas dekan sebuah universiti untuk membatalkan perkahwinan dengan isterinya termasuk perintah mahkamah agar isterinya itu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.

Mahkamah turut mengarahkan Dr Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan Universiti Sains Islam Malaysia untuk membayar kos sebanyak RM3,000 bagi setiap kes yang difailkan kepada usahawan produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan kes itu memandangkan Dr Bahrom gagal menyerahkan afidavit berhubung rumah sewanya di Taman Dato'Senu di sini.

"Jangan main-main dengan mahkamah," kata Abdul Walid kepada Dr Bahrom yang gagal menyerahkan afidavit kepada mahkamah walaupun beliau diberikan tempoh yang mencukupi.

Beliau diberi tempoh selama sebulan bermula Khamis untuk membayar kos berjumlah RM12,000 kepada Sri Wani.

Dr Bahrom mengemukakan empat permohonan termasuk permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan), perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian DNA selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit, perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media dan permohonan komital (pemenjaraan).

Peguam Boestamam Ahmad mewakili Sri Wani manakala Dr Baharom diwakili peguam Muhammad Hafiz Abdul Rashid.

Artikel Lain