suria

PM: PRU-13 Tentukan Survival Umno Dan BN

BALING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengulangi peringatannya bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang adalah penentu survival Umno dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya belajar daripada pengalaman pilihan raya umum 2008 agar tidak melakukan perbuatan yang menyebabkan BN tewas di beberapa negeri.

"Saya tidak mahu lagi politik adu domba sesama kita, tidak mahu lagi politik puak sesama puak...tidak mahu lagi dalam kempen orang merajuk dan mengkhianati.

"Jika semua ahli sokong calon yang dipilih, mustahil kita boleh kalah pilihan raya," katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan berkumpulan enam bahagian Umno Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling di sini, Khamis.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, ketua Umno bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan ketua Wanita Umno Baling Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sebagai anggota sebuah parti yang cukup matang dan dewasa, segala masalah yang melanda seharusnya diselesaikan.

"Dah empat tahun. Jangan lagi ada masalah. Jangan tunjuk jari...sudah sudahlah. Rapatkan barisan.

"Jika sayang parti, kita hendaklah reda. Dipilih Alhamdulillah, tak dipilih pun kita ucap Alhamdulillah. Jika itulah sikap kita bermakna kita telah dewasa dan matang," kata Najib yang juga Presiden Umno.

Najib berkata, apabila beliau menyatakan parti hendakkan 'winnable candidate' (calon boleh menang) semua akan kata mereka adalah 'winnable candidate' tetapi sebenarnya separuh sahaja yang boleh menang.

Walaupun dalam politik ada pasang-surut, Umno masih lagi parti yang relevan dan akan hidup untuk satu jangka masa panjang.

Artikel Lain