suria

Penyelenggara Kilang Ditahan Curi Mangkuk, Sudu Emas Perhiasan Majikan

JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang penyelenggara kilang biskut selepas dipercayai mencuri beberapa barangan perhiasan milik majikannya termasuk mangkuk, sudu emas dan chopstik bernilai RM40,000 di kilang berkenaan, di Taman Desa Cemerlang, di sini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata lelaki berumur 35 tahun itu ditahan di kilang itu pada 6 petang, Rabu lepas, selepas polis menerima laporan kehilangan barangan berkenaan daripada majikan terbabit, yang seorang berpangkat Datuk, pada 17 Ogos lepas.

"Ekoran penahanan lelaki itu, polis kemudian menahan dua lagi lelaki berumur 28 dan 30 tahun pada Sabtu lepas yang merupakan pembeli mangkuk dan sudu emas terbabit. Seorang daripada mereka ditahan di sebuah kedai emas di Pekan Ulu Tiram manakala seorang lagi ditahan di sebuah rumah di Kota Tinggi," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK), di sini Rabu.

Mohd Mokhtar berkata polis merampas mangkuk dan sudu emas yang dibeli dari Hong Kong sejak 12 tahun itu berserta tiga keping resit jual belinya selain menemui semula sebatang pen jenama Parker dan satu beg duit milik majikan berkenaan yang dipercayai turut dicuri sebelum itu.

Beliau berkata penyelenggara kilang terbabit sudah bekerja di kilang berkenaan sejak dua tahun lepas dan siasatan mempercayai chopstik emas berkenaan telah dileburkan.

Katanya kesemua yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan 10 lelaki dan seorang wanita yang dipercayai saki baki anggota 'geng tikus' selepas mereka merompak sebuah rumah milik seorang wanita warga emas di Taman Pelangi, di sini 16 Ogos lepas.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan pada 4.30 petang di Taman Seri Alam, Masai, selepas polis menerima maklumat kejadian daripada mangsa berumur 80 tahun itu pada 10.15 pagi, pada hari yang sama.

"Polis menemui satu parang panjang, satu pistol mainan, kereta mangsa yang telah dilarikan, wang tunai RM1,397, mata wang Singapura 662 dolar, lima komputer, empat komputer riba, lima telefon bimbit, dua jam tangan, 14 beg sandang dan beg duit serta pelbagai alatan pecah rumah dan kereta dari kesemua mereka," katanya.

Katanya empat daripada mereka mempunyai rekod lampau termasuk curi dan menceroboh rumah.

Kesemua lelaki dan wanita yang berumur 25 hingga 35 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain